Perang tarif AS-China: Siapa sebenarnya menang?

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatannya, Donald Trump bertemu di Sidang Kemuncak G20 Osaka pada tahun 2019. AFP
Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatannya, Donald Trump bertemu di Sidang Kemuncak G20 Osaka pada tahun 2019. AFP
A
A
A

SAN FRANCISCO - Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang bermula sejak 2018 kini kembali menjadi tumpuan apabila kesan jangka panjang mula dirasai secara global, termasuk di Eropah dan negara membangun.

Perang tarif yang dilancarkan Presiden AS, Donald Trump, pada awalnya bertujuan untuk menekan Beijing agar tunduk kepada syarat perdagangan yang lebih "adil" kepada Amerika.

Namun selepas bertahun-tahun berlalu, persoalan kini timbul: siapa sebenarnya menang dalam pertarungan ekonomi terbesar abad ini?

Pekerja kilang di Zhejiang, China tekun menyiapkan peralatan perlombongan untuk di eksport. AFP
Pekerja kilang di Zhejiang, China tekun menyiapkan peralatan perlombongan untuk di eksport. AFP

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kedua-dua kuasa besar dunia itu saling mengenakan tarif tinggi ke atas ratusan bilion dolar barangan.

AS menuduh China mengamalkan amalan perdagangan tidak adil dan mencuri teknologi, manakala China menuduh AS cuba menyekat kebangkitannya.

Kesan langsung kepada kedua-dua negara amat ketara. Syarikat AS terpaksa membayar lebih untuk komponen dan bahan mentah dari China, manakala pengeluar China kehilangan sebahagian besar pasaran eksport mereka.

Harga pengguna meningkat dan rantaian bekalan global terganggu.

Artikel Berkaitan:

Namun, dalam jangka panjang, China dilihat lebih bijak menyesuaikan strategi. Negara itu memperluaskan pasaran eksport ke Asia Tenggara, Afrika, dan Amerika Latin.

Mereka juga melabur besar dalam teknologi baharu seperti kenderaan elektrik (EV), menjadikan jenama seperti BYD kini menyaingi Tesla di pasaran Eropah.

Dalam perkembangan terbaru, jualan Tesla di Eropah menjunam 37.2 peratus dalam empat bulan pertama 2025, walaupun jualan EV keseluruhan meningkat 28 peratus. Di Sweden, jualan Tesla merosot sebanyak 81 peratus, manakala di Sepanyol jatuh 36 peratus.

Deretan kenderaan elektrik (EV),Tesla yang terletak di Hamilton, Kanada. AFP
Deretan kenderaan elektrik (EV),Tesla yang terletak di Hamilton, Kanada. AFP

Sebaliknya, jenama China terus mengukuh. BYD dan NIO kini menjadi pilihan utama pembeli di Eropah yang semakin memboikot produk AS kerana faktor politik dan harga yang lebih tinggi.

Sentimen anti-Musk dan hubungan beliau dengan Trump juga memberi kesan buruk kepada jenama Tesla.

Sementara itu, beberapa negara sekutu AS seperti Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Australia semakin lantang menggesa Washington agar melonggarkan tarif import, khususnya bagi bahan mentah dan komponen elektronik.

Mereka mendakwa tarif tinggi menjejaskan daya saing syarikat mereka yang bergantung kepada komponen dari China.

Di Asia Tenggara, Malaysia, Vietnam dan Thailand pula melihat perang tarif sebagai peluang. Ketiga-tiga negara ini menerima limpahan pelaburan kilang dari syarikat yang ingin mengelak tarif AS terhadap China.

Malaysia misalnya, kini menjadi hab pemasangan semikonduktor baharu menggantikan Taiwan dalam beberapa aspek.

Namun ketegangan tidak reda. Presiden AS kini sedang mempertimbangkan untuk menaikkan semula kadar tarif terhadap beberapa produk strategik dari China termasuk cip, bateri, dan logam nadir bumi.

Langkah ini mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur global.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam kenyataannya bulan lalu memberi amaran bahawa ketegangan perdagangan yang berterusan berpotensi menurunkan pertumbuhan global sebanyak 0.3 hingga 0.5 peratus setahun.

Menurut laporan Bloomberg, eksport global kini berdepan tekanan hebat susulan tindakan balas China yang mengenakan sekatan tidak rasmi terhadap beberapa produk pertanian AS serta meningkatkan kerjasama perdagangan dengan Rusia dan negara BRICS.

China juga mula mengenakan standard alam sekitar dan keselamatan yang lebih ketat ke atas produk import dari AS, satu taktik yang dilihat sebagai usaha halus menyingkirkan produk pesaing dari pasaran domestiknya.

Bagi penganalisis ekonomi, perang tarif ini kini berubah menjadi "perang pengaruh" di mana kedua-dua negara berlumba-lumba membentuk pakatan ekonomi baharu, mencipta blok dagangan tersendiri dan mengembangkan pengaruh masing-masing di luar negara.

Walaupun AS masih mempunyai kelebihan teknologi dan sistem kewangan global yang dominan, China pula memanfaatkan kuasa pasaran domestiknya dan keupayaan untuk bertindak pantas dalam membuat keputusan ekonomi.

Melihat kepada keadaan semasa, sukar untuk menyatakan siapa menang. Namun jelas bahawa dunia sedang berdepan dengan era baharu perdagangan global yang lebih terpecah dan tidak menentu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!