SD Guthrie hantar minyak sawit mampan pertama bebas tarif ke UK

SHAH ALAM - SD Guthrie Berhad mencatat pencapaian penting apabila buat pertama kali menghantar minyak sawit mampan diperakui Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) ke United Kingdom (UK) tanpa sebarang tarif di bawah kerangka Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Syarikat itu memaklumkan, kilang penapisan SD Guthrie International di Liverpool telah menerima sebanyak 8,000 tan minyak sawit mampan diperakui (CSPO) yang boleh dikesan dan diasingkan sepenuhnya.
Menurutnya, kargo membawa CSPO berkenaan dihantar menggunakan kapal Dolphin 19 dari Pelabuhan Kunak, Sabah pada 19 Februari lalu telah menjalani proses ujian ketat bagi memastikan tahap hidrokarbon dalam minyak mineral tepu dan aromatik kekal rendah serta memenuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, penghantaran tersebut mencerminkan kekuatan hubungan dagangan antara Malaysia dan UK serta komitmen syarikat berkenaan terhadap kualiti, kebolehkesanan dan kestabilan bekalan minyak sawit mampan kepada pelanggan antarabangsa.
"Dengan keanggotaan rasmi UK dalam CPTPP yang berkuat kuasa pada 15 Disember 2024, tarif ke atas minyak sawit mentah dan produk derivatif dari Malaysia ke UK telah dihapuskan sepenuhnya berbanding kadar terdahulu antara dua hingga 10 peratus.

"Selama lebih sedekad, kilang penapisan kami di Liverpool memainkan peranan strategik sebagai pintu masuk bekalan minyak sawit mampan ke pasaran UK, sekali gus memenuhi kira-kira 50 hingga 55 peratus daripada permintaan minyak sawit di pasaran berkenaan.
"Produk-produk keluaran kilang digunakan secara meluas oleh kedai-kedai yang menjual 'fish-and-chips' di seluruh negara serta menjadi bahan utama pembuatan pelbagai produk biskut dan berasaskan roti serta produk konfeksi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
CPTPP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai pada tahun 2018 oleh 11 negara Lingkaran Pasifik termasuk Malaysia yang bertujuan menghapuskan halangan tarif serta mempromosi integrasi ekonomi dan perlindungan buruh serta alam sekitar.
Dalam pada itu, Mohamad Helmy menjelaskan, walaupun rantaian bekalan syarikat itu di Papua New Guinea (PNG) kekal sebagai sumber utama bagi pasaran UK, penghantaran terbaharu dari Sabah membuktikan keupayaan SD Guthrie mengekalkan kestabilan bekalan CSPO daripada Malaysia.
"Bergantung kepada permintaan pasaran dan keperluan pelanggan, kami mampu menawarkan keterjaminan bekalan sama ada dari Malaysia atau PNG.
"Selaras dengan tumpuan SD Guthrie terhadap kesihatan pengguna, rantaian bekalan di Sabah juga menghasilkan minyak sawit mampan berkualiti tinggi serta mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi memberi keyakinan terhadap ketulenan serta keselamatan produk kami," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
