Anak tendang ibu, tumbuk berkali-kali hingga mati

 Seorang lelaki berusia 37 tahun tergamak menumbuk serta menendang ibu kandungnya berkali-kali hingga maut hanya kerana tidak puas hati dihidangkan makanan yang tidak digemarinya. Gambar hiasan.
Seorang lelaki berusia 37 tahun tergamak menumbuk serta menendang ibu kandungnya berkali-kali hingga maut hanya kerana tidak puas hati dihidangkan makanan yang tidak digemarinya. Gambar hiasan.
A
A
A

CHANDRAPUR – Seorang lelaki berusia 37 tahun tergamak menumbuk serta menendang ibu kandungnya berkali-kali hingga maut hanya kerana tidak puas hati dihidangkan makanan yang tidak digemarinya.

Suspek didakwa membunuh ibunya yang berusia 65 tahun susulan pertengkaran mengenai hidangan kari peria untuk makan malam, dalam kejadian di Kampung Dongargaon, Mukim Mul, Chandrapur, timur Maharashtra, India.

Suspek yang dikenal pasti sebagai Jagdish Dashrath Petkule ditahan pada malam Khamis selepas dipercayai menyerang ibunya, Sumitra Petkule, sehingga menyebabkan kematian.

Menurut polis, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian dan mempunyai sejarah ketagihan minuman keras.

Siasatan awal mendapati pertikaian bermula apabila suspek pulang ke rumah dan membantah ibunya menyediakan kari peria, makanan yang dikatakan tidak digemarinya.

Pertengkaran kecil itu bagaimanapun bertukar menjadi insiden ganas.

Menurut pegawai penyiasat, dalam keadaan marah, suspek dipercayai menendang dan menumbuk mangsa berpuluh kali hingga mati.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum bantuan perubatan sempat diberikan.

Penduduk kampung yang terdengar suara pertengkaran dan kekecohan berhampiran rumah berkenaan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Sepasukan anggota dari Balai Polis Mul tiba di lokasi tidak lama kemudian dan menahan suspek.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian serta tahap kecederaan.

Sumber polis memaklumkan suspek dipercayai berdepan tekanan peribadi sejak beberapa bulan lalu selepas isterinya meninggalkannya kira-kira dua bulan sebelum kejadian. Sejak itu, dia tinggal bersama ibunya.

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada tekanan emosi yang digabungkan dengan pengambilan alkohol menyumbang kepada tindakan agresif tersebut.

Kes telah didaftarkan mengikut peruntukan berkaitan bunuh di bawah Kanun Keseksaan India.

Polis turut merekodkan keterangan jiran dan saksi serta meneliti latar belakang hubungan keluarga berkenaan bagi memahami punca sebenar kejadian.

Insiden itu mengejutkan penduduk setempat yang menyifatkan mangsa sebagai seorang wanita warga emas yang pendiam dan tidak menimbulkan masalah.

Ramai menyatakan sukar mempercayai pertikaian kecil mengenai makanan boleh berakhir dengan tragedi.

Pihak berkuasa menegaskan penyalahgunaan alkohol sering menjadi pencetus pertengkaran domestik, khususnya apabila wujud tekanan emosi dan konflik yang tidak diselesaikan.

Mereka menggesa orang ramai mendapatkan bantuan sekiranya berdepan masalah ketagihan atau tekanan keluarga bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Siasatan lanjut masih dijalankan. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa membunuh ibunya kerana tidak suka hidangan kari peria
  • Suspek berada di bawah pengaruh alkohol pada masa kejadian dan mempunyai sejarah ketagihan minuman keras
  • Pertengkaran tentang makan malam berakhir dengan keganasan apabila suspek menendang dan menumbuk mangsa hingga mati
  • Mayat mangsa disahkan meninggal dunia sebelum bantuan perubatan sempat diberikan
  • Polis menyiasat kemungkinan tekanan emosi dan pengaruh alkohol sebagai penyumbang kepada tindakan agresif suspek

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!