Tarif Trump: Pemimpin jangan cepat melatah, perlu fokus bantu rakyat

KUALA LUMPUR – Pemimpin negara disaran agar tidak melatah dan mengelak daripada memberi reaksi defensif terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif baharu, sebaliknya menilai semula dasar perdagangan serta memperkukuh hubungan diplomatik secara bijaksana.
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, tindakan Presiden AS itu dijangka memberi impak besar terhadap pendapatan negara sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan dalam menjamin kebajikan rakyat.
“Setiap negara kini berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia yang didorong pendirian AS berkenaan tarif. Ia secara langsung akan memberi kesan kepada tanggungjawab fiskal negara dan menjejaskan usaha menjamin kesejahteraan masyarakat.
“Iktibar daripada situasi ini adalah penting untuk kita memilih pemimpin yang benar-benar memahami keperitan ekonomi rakyat, termasuk isu jurang pendapatan, kenaikan harga barang serta memiliki keperibadian tinggi dalam membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan susulan terhadap situasi semasa perlu diperhalusi dengan teliti memandangkan kelembapan ekonomi global sejak 2023 telah menyederhanakan aktiviti perkilangan, terutama sektor berorientasikan eksport.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, sektor tersebut masih menjadi pemacu utama pertumbuhan negara, bahkan melebihi paras sebelum pandemik.
“Kesilapan dalam percaturan ekonomi akan menjejaskan pendapatan negara dan rantaian bekalan yang membawa kepada kenaikan kos mendadak. Ketika ini rakyat sedang menyesuaikan diri dengan pengurangan subsidi jika pendapatan mereka turut terjejas, siapa yang akan menanggung keperitan ini?
“Pendekatan komunikasi dengan AS perlu dibingkai semula dalam kerangka ‘reframing perspective’ iaitu mengutamakan kolaborasi dua hala yang saling menguntungkan, bukan hanya berpaksikan kepada pemikiran bahawa hanya satu pihak boleh menang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aidi Amin turut mengingatkan agar pemimpin negara tidak bertelagah atau bertengkar sesama sendiri, sebaliknya perlu berganding bahu membantu rakyat dalam menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup yang dijangka meningkat akibat ketidaktentuan ekonomi global.
“Rakyat perlu diberi perhatian khususnya golongan berpendapatan rendah. Kementerian-kementerian terlibat juga perlu terus memikirkan mekanisme yang lebih berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk bantuan bersasar dan peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya pemeliharaan hubungan diplomatik jangka panjang yang lebih ideal berbanding sikap pentingkan diri, apatah lagi dalam konteks organisasi kebajikan yang amat bergantung kepada integriti serta kestabilan politik.
Jelas beliau, kestabilan sesebuah kerajaan turut memberi kesan langsung kepada kelangsungan kerjasama strategik bagi membantu golongan memerlukan.
“Generasi pemimpin baharu harus lebih arif menyelami denyut nadi rakyat dan dinamik dalam pendekatan kerja. Defisit kepercayaan akan menyumbang kepada keretakan struktur sosial dan membantutkan potensi sesiapa sahaja yang memimpin.
“Sebagai NGO matlamat kami adalah untuk menjayakan aspirasi Malaysia Madani bermula dengan menerapkan nilai saling memahami dalam masyarakat dan menggalakkan kolaborasi antara rakyat serta pemimpin berfikiran positif,” ujarnya.
Sebelum ini Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak berkata, pendekatan Malaysia menangani isu tarif Amerika Syarikat perlu diberi pujian dan dijadikan ikutan negara lain di rantau ini.
Menurutnya kematangan diplomasi Malaysia untuk berunding berbeza jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang terus bertindak balas.
“Pertama, Malaysia kekal tenang. Kedua, Malaysia jalankan libat urus untuk bezakan antara retorik dan realiti dari aspek Amerika Syarikat. Ketiga, kita kembali merancang semula. Keempat, kita akan kembali berunding. Saya rasa ini pendekatan yang tepat, berbanding banyak negara lain,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

