Warga emas terkejut jumpa bayi dalam keadaan kotor, dihurung semut

SEGAMAT – Niat seorang warga emas untuk menunaikan solat Maghrib bertukar menjadi detik mencemaskan apabila menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di hadapan rumahnya di Felda Redong, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, bayi malang itu ditemui dalam keadaan dibalut kain batik, kotor dan dihurung semut sekitar jam 7.45 malam oleh lelaki berusia 60 tahun yang merupakan pemilik rumah berkenaan.
"Lelaki itu terdengar tangisan bayi sebelum keluar dari rumah untuk ke masjid dan dia terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat berada di hadapan rumah dalam keadaan kotor dan penuh semut.
“Dia kemudian membersihkan bayi tersebut sebelum membawanya masuk ke dalam rumah dan memaklumkan kepada anak perempuannya,” katanya pada Selasa
Tambah Ahmad Zamry, bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan tali pusat dan kesan darah pada tubuhnya.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati bayi itu cukup sifat dan tiada nota atau petunjuk lain yang ditinggalkan di lokasi kejadian.
“Bayi itu kini berada di bawah jagaan Hospital Segamat untuk pemantauan dan rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan.
Katanya, pihak polis amat menghargai tindakan pantas individu yang melaporkan penemuan tersebut kerana perbuatan membuang bayi adalah satu jenayah berat dan tidak berperikemanusiaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

