Warga emas terpelanting dirempuh kereta ketika sapu sampah depan rumah

Rakaman CCTV tular yang memaparkan sebuah kereta melanggar seorang warga emas yang sedang menyapu sampah di depan rumahnya pagi tadi.
Rakaman CCTV tular yang memaparkan sebuah kereta melanggar seorang warga emas yang sedang menyapu sampah di depan rumahnya pagi tadi.
A
A
A

KLUANG – Seorang warga emas dirempuh sebuah kereta ketika membersihkan kawasan hadapan rumahnya di Taman Tiara Perdana, Simpang Renggam, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Mustaffa Mustain, 61, yang juga seorang pesara sedang menyapu sampah sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu seorang jururawat wanita berusia 37 tahun.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter sebelum kereta berkenaan terus melanggar sebatang tiang elektrik berhampiran hingga patah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang turut terletak di taman perumahan sama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita terbabit dipercayai hilang kawalan terhadap kenderaannya sebelum merempuh mangsa yang berada di bahu jalan di hadapan rumahnya.

“Kenderaan itu turut melanggar tiang elektrik yang terletak tidak jauh dari lokasi rempuhan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Keadaan kereta jururawat yang merempuh seorang lelaki warga emas yang sedang menyapu sampah di depan rumah pagi Rabu.
Keadaan kereta jururawat yang merempuh seorang lelaki warga emas yang sedang menyapu sampah di depan rumah pagi Rabu.

Menurut Bahrin, akibat insiden itu, Muhamad Mustaffa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki kiri dan luka di bahagian dahi, manakala pemandu wanita terbabit hanya mengadu mengalami sakit dada.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam tempoh 20 saat di media sosial yang memaparkan detik kejadian, termasuk saat mangsa dirempuh kereta berkenaan secara tiba-tiba.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!