Syarikat besar, GLC disaran bantu PKS capai kelestarian perniagaan

Nik Nazmi bersama Pengerusi Sepulo Holdings, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz (kiri) dan Pengasas The Green Factory, Harith Ridzuan (kanan) merasmikan Sustainaboleh Program & Grand Launch Of The Green Factory Retail Shop di The Campus Ampang pada Selasa.
Nik Nazmi bersama Pengerusi Sepulo Holdings, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz (kiri) dan Pengasas The Green Factory, Harith Ridzuan (kanan) merasmikan Sustainaboleh Program & Grand Launch Of The Green Factory Retail Shop di The Campus Ampang pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Semua syarikat besar termasuk tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diharap dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggalakkan mereka mengguna amalan kelestarian dalam perniagaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu penting kerana ketika ini PKS mempunyai kemampuan terhad untuk berbuat demikian khususnya berikutan perubahan dan peraturan baharu mengenai iklim, kelestarian dan perhutanan.

Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi PKS termasuklah mereka tidak mampu melantik 'Chief Sustainability Officer' (Ketua Pegawai Kelestarian).

"Kalau pada peringkat syarikat yang tersenarai, mereka memang sudah biasa dengan permintaan daripada Bursa Malaysia dan sebagainya. Namun bagi PKS, memang kena dukungan yang kuat," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Sustainaboleh Program dan The Green Factory Retail Shop di The Campus Ampang pada Selasa.

Nik Nazmi (tengah) melihat barangan dipamerkan sempena perasmian The Green Factory di Ampang pada Selasa.
Nik Nazmi (tengah) melihat barangan dipamerkan sempena perasmian The Green Factory di Ampang pada Selasa.

Tambah Nik Nazmi, kerajaan sentiasa membantu PKS, termasuk usaha memberi bimbingan kepada syarikat berkenaan.

"Kita juga berharap (usaha sama dari) syarikat-syarikat besar sebab mereka mungkin syarikat besar tetapi dalam rangkaian pembekalan itu mereka beli barang, dapat bekalan daripada syarikat-syarikat kecil atau sederhana.

"Jadi, mereka juga perlu main peranan membantu syarikat PKS untuk dapat beralih kepada satu situasi lebih lestari. Mereka juga main peranan untuk bimbing, membina kapasiti dan sebagainya," ujarnya.

Nik Nazmi berkata, walaupun pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara menyaksikan perkembangan positif, namun masih banyak usaha perlu dilakukan dan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu sekarang, terutama dari segi sifat bersih, ada permintaan besar pada peringkat dunia, Eropah juga, soal EUDR (Pelaksanaan Undang-Undang Anti-Penebangan Hutan Kesatuan Eropah), perhutanan dan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM).

"Semua perkara-perkara ini memang akan memberi kesan secara tidak langsung kepada PKS.

"Sebab itu, kita berharap kena ada satu pendekatan menyeluruh membabitkan kerajaan dan syarikat besar, GLC, MNC (syarikat multinasional) untuk mengangkat kemampuan daripada kalangan PKS untuk berdepan perubahan ini," katanya.

Pada tahun lalu, Malaysia mencapai 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini SDG iaitu jauh mengatasi purata dunia pada 17 peratus.

Prestasi itu jelas memberi petanda bahawa Malaysia berjaya mendepani cabaran yang dihadapi menerusi pembaharuan, namun ia bukanlah satu petunjuk serta jaminan yang kekal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!