Gencatan senjata Gaza ditangguh

TEL AVIV - Israel sekali lagi mencari helah selepas ia menangguhkan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza yang sepatutnya berkuat kuasa pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan) pada Ahad.
Kira-kira sejam sebelum tempoh bertenang itu bermula, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu ia hanya akan dilaksanakan selepas Hamas memberikan senarai nama tawanan yang akan dibebaskan.
Sebagai respons, Hamas berkata, mereka masih 'berpegang kepada janji' dan kelewatan pemberian senarai nama itu berpunca daripada sebab teknikal.
"Ia akan diserahkan pada bila-bila masa, namun kerumitan ditimbulkan Zionis menerusi kempen pengeboman yang diteruskan di Gaza telah menyebabkan penangguhan proses itu," ujar jurucakap Hamas.
Pelaksanaan gencatan senjata itu semakin sukar selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga kononnya menuduh Hamas gagal mematuhi syarat ditetapkan.
"Kami akan terus melancarkan serangan mengikut arahan Perdana Menteri sehingga Hamas memenuhi tuntutan tersebut," kata jurucakapnya, Laksamana Muda, Daniel Hagari.
Pada Sabtu, Netanyahu dengan angkuh menyatakan Tel Aviv mempunyai sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) untuk kembali berperang jika terdapat keperluan mendesak.
"Fasa pertama selama 42 hari itu hanyalah gencatan senjata sementara. Kami tidak teragak-agak akan lancarkan perang lebih ganas. Israel telah mengubah situasi di Asia Barat," katanya.
Sementara itu, rakaman AFP menunjukkan komuniti di bandar Deir al-Balah meraikan tempoh bertenang itu selain ratusan penduduk Gaza meninggalkan Bandar Gaza menuju ke kampung halaman masing-masing.
Kira-kira jam 9 pagi (waktu tempatan), kepulan asap tebal dilihat menyelubungi timur laut Gaza. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

