Kasih ibu, rentas Terengganu ke Kedah demi ziarah pusara anak

Rosidah nekad merentas perjalanan jauh dari Terengganu ke Kedah semata-mata untuk menziarahi pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin.
Rosidah nekad merentas perjalanan jauh dari Terengganu ke Kedah semata-mata untuk menziarahi pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerinduan terhadap anak sulung yang telah pergi buat selamanya mendorong seorang ibu, Rosidah Ibrahim, 53, nekad merentas perjalanan jauh dari Terengganu ke Kedah semata-mata untuk menziarahi pusara insan tersayang.

Rosidah masih setia berkunjung ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di sini, tempat anaknya, Allahyarham Muhammad Fazrin Abdul Wahid disemadikan selepas meninggal dunia pada 27 Oktober tahun lalu akibat pneumonia.

Momen menyentuh hati itu sempat dirakam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar yang kebetulan berada di tanah perkuburan tersebut untuk menziarahi pusara anaknya.

Situasi berkenaan menyentuh hati Baddrol apabila melihat si ibu duduk di bawah rintik hujan, menatap pusara anaknya dengan penuh kerinduan yang sukar digambarkan.

Video tersebut yang dimuat naik pada Ahad lalu mencetuskan reaksi penuh emosi daripada warganet, dengan meraih lebih 700,000 tontonan di TikTok setakat pagi Selasa, serta menerima pelbagai komen simpati terhadap kasih sayang seorang ibu yang tidak berpenghujung.

Gambar kenangan Nurul Nabilah (kanan) bersama arwah suaminya dan anak.
Gambar kenangan Nurul Nabilah (kanan) bersama arwah suaminya dan anak.

Isteri Allahyarham, Nurul Nabilah Rizal, 32, menyifatkan kehadiran ibu mentuanya itu sebagai bukti kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah luntur.

“Saya tahu betapa sayangnya emak mentua kepada arwah suami. Setiap kali datang ke Kedah, dia akan bermalam di rumah saya, dan hubungan kami memang sangat rapat.

“Arwah suami merupakan anak sulung daripada lapan beradik, dan menjadi harapan keluarga. Dia seorang yang baik, ringan tulang dan tidak pernah meninggikan suara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Nabilah berkata, dia berasa terharu melihat komen serta doa orang ramai untuk ibu mentuanya, dan berharap agar wanita itu terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Rezeki saya kerana mendapat suami dan keluarga mentua yang baik. Saya harap mereka yang menonton video itu mendoakan emak mentua supaya terus sihat dan tabah,” katanya.

Beliau yang kini membesarkan anak lelaki mereka, Muhammad Ali Al-Uthman Muhammad Fazrin, 6, berkata, selagi hayat dikandung badan, dia akan terus menjaga hubungan baik dengan keluarga mentua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!