Mangsa pelaburan dakwa terpedaya dengan penampilan tokoh agama, pempengaruh

KUALA LUMPUR – Kebanyakan mangsa skim pelaburan saham yang dianjurkan oleh dua syarikat mendakwa mereka terpedaya akibat penampilan pempengaruh, tokoh agamawan, dan usahawan popular yang mempromosikan pelaburan tersebut.
Seorang mangsa, Azmi, 55, berkata, dia antara pelabur terawal yang menyertai skim itu selepas melihat iklan promosi di media sosial kira-kira tiga tahun lalu.
“Saya kemudian menghubungi ejen pemasaran sebelum memutuskan untuk melabur lebih RM1 juta dalam dua syarikat berkenaan.
“Saya turut bertemu beberapa individu termasuk ejen sebelum membuat keputusan besar itu. Pada awalnya, saya menerima dividen setiap tiga bulan seperti dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, pada Isnin.
Azmi, bekas kakitangan syarikat minyak dan gas berkata, dia tidak lagi menerima sebarang dividen sejak Ogos tahun lalu.
“Apabila ditanya, pelbagai alasan diberikan dan kami disuruh tunggu. Sehinggalah pada Januari lalu, kami menerima memo daripada syarikat yang seolah-olah menunjukkan mereka tidak lagi mahu membayar wang kami.
“Saya desak mereka beri penjelasan, tetapi apabila mahu bertemu pengarah syarikat, mereka mengelak dan enggan berbincang. Jadi, tiada pilihan lain selain membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, seorang wanita berusia 50-an yang enggan dikenali mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas melaburkan wang simpanan peninggalan arwah suaminya dalam syarikat berkenaan dua tahun lalu.
“Saya gunakan duit peninggalan arwah suami untuk melabur dengan harapan menambah pendapatan bagi menampung kos pendidikan anak-anak dan membesarkan mereka.
“Saya suri rumah dan tidak bekerja. Saya fikir ini satu-satunya cara menambah simpanan yang ada. Namun tidak sangka wang yang dikumpul bersama arwah suami ‘hangus’ begitu sahaja,” katanya.
Wanita itu merupakan antara 186 individu yang tampil membuat aduan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM60.7 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan membawa kes tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Bank Negara Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kita berharap pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan supaya pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
