PRN Sabah: Bincang kerjasama politik masih awal - DAP Sabah

KOTA KINABALU - Perbincangan mengenai kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) masih terlalu awal, kata Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu berkata, DAP tetap terbuka untuk berbincang secara konstruktif dengan mana-mana pihak yang mempunyai hala tuju reformasi yang sama.
Jelas beliau, dalam keadaan politik Sabah yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah, DAP Sabah perlu kekal fokus kepada memperkukuh kekuatan dalaman parti, memperjelas dasar-dasar penting serta membina kepercayaan rakyat melalui pendekatan yang konsisten dan berprinsip.
"Dalam suasana penuh ketidaktentuan ini, DAP Sabah mesti mengekalkan identiti serta fokus yang jelas dengan mengetengahkan dasar yang mantap dan visi yang meyakinkan untuk rakyat, demi membuktikan bahawa DAP mampu membawa perubahan sebenar.
"DAP Sabah tidak berminat untuk bermain politik kosong. Kita mesti menjadi parti utama yang membawa penyelesaian jelas kepada cabaran mendesak di Sabah dan membawa kemajuan.
"Kita mesti menjelaskan visi kita untuk masa depan Sabah dan meraih kepercayaan rakyat melalui kerja keras, dasar yang kukuh serta hasil yang terbukti," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, UMNO Sabah mengumumkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah telah dimuktamadkan melalui perbincangan antara kedua-dua pihak.
Tambah Jin Zhe lagi, memandangkan DAP kini memegang peranan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri, semua lapisan kepimpinan parti hingga ke akar umbi harus memenuhi jangkaan sebagai pemimpin yang berkeupayaan dan berorientasikan hasil, dengan memberi keutamaan kepada khidmat untuk rakyat.
"Kita mesti biarkan prestasi kita berbicara, gunakan data untuk membuktikan kesan kita dan tunjukkan kepada rakyat bahawa DAP ialah parti yang bertindak.
"Saya menyeru semua lapisan parti untuk mengangkat tiga dasar utama DAP Sabah iaitu memperbaiki kehidupan rakyat, merancakkan ekonomi dan yang paling penting, menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Sebelum itu, beliau turut berkongsi kejayaan DAP Sabah menganjurkan Retreat Kepimpinan 2025 selama tiga hari yang berakhir pada Ahad.
"Program retreat ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama DAP peringkat kebangsaan dan negeri, serta wakil akar umbi bagi mengadakan perbincangan mendalam mengenai strategi pilihan raya DAP Sabah, dasar-dasar tadbir urus, dan masa depan Sabah.
"Retreat ini berjaya membentuk kata sepakat dalam kalangan kepimpinan dan ahli sebagai persediaan menghadapi PRN17 yang akan datang," katanya.
Antara pemimpin yang hadir termasuk Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan beberapa barisan pimpinan DAP Pusat dan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

