'Terima kasih guru, adiwira sebenar kejayaan pelajar SPM'

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengucapkan terima kasih kepada guru dan menyifatkan mereka adiwira sebenar yang menjadi punca kejayaan peningkatan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 lebih baik berbanding sebelumnya.

Melalui hantaran dalam laman sosial Instagram peribadinya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM dan mengakui gembira mendengar khabar baik mengenai pencapaian mereka hari ini.

"Tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak yang telah berjaya. Selamat melangkah ke fasa seterusnya. Doa saya sentiasa teriring bersama.

"Dan yang paling takkan dilupakan, para guru, adiwira sebenar yang menjadi punca kejayaan semua, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kerana tidak pernah lelah mendidik anak bangsa.

"Pengorbanan kalian tidak pernah tertandingkan dengan apa pun," katanya hari ini.

Hantaran Maszlee yang dinaikkan dua jam lalu sudah mendapat 5,211 sukaan sejak disiarkan dan menerima 69 komen daripada netizen.

Sebahagian besar netizen menganggap Maszlee turut memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan dikecapi pelajar mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2019.

Bagi seorang pengguna akaun Instagram bernama 66_zhjgroupofficial, dia mengucapkan tahniah kepada Maszlee kerana menganggap ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah individu di belakang kejayaan pencapaian SPM tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"@maszlee u are the one behind all these success.. congratulations Yb," tulisnya di dalam ruangan komen.

Seorang lagi pengguna akaun Instagram bernama sitiabdulhalim mendoakan Maszlee agar menerajui kembali Kementerian Pendidikan sebagaimana disandang semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

"Ye...betul. Terajuilah kembali kementerian pendidikan...kerana kami semua masih memerlukan YB..," tulisnya.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan SPM lebih baik berbanding sebelumnya menunjukkan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) selama ini menampakkan hasil.

Menurutnya, ia memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara dan ia dibuktikan melalui keputusan SPM 2019.

ARTIKEL BERKAITAN Keputusan SPM 2019 petunjuk keberkesanan sistem pendidikan: PM