Ops Gasak 2025: KPDN Selangor gempur 35 premis, sita 90 tong LPG

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggempur 35 premis perniagaan di seluruh negeri ini dalam Ops Gasak 2025 yang dijalankan sejak Januari lalu.
Operasi yang dilaksanakan secara serentak itu melibatkan semua pejabat KPDN cawangan di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada premis seperti syarikat penternakan ayam, pembekal gas memasak, perniagaan dobi dan restoran.
“Hasil serbuan telah menghasilkan empat kes di bawah Peraturan 18(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, iaitu memiliki barang kawalan berjadual bersubsidi, iaitu gas memasak yang digunakan bagi perniagaan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
“Tindakan sitaan telah dibuat terhadap kes berkenaan melibatkan nilai rampasan dianggarkan RM8,000 membabitkan hampir 90 unit tong gas LPG,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala tindakan turut berpotensi diperluaskan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Operasi ini dilaksanakan susulan pelancaran Ops Gasak 2025 (Gas Memasak) oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, pada 18 April lalu sebagai sebahagian pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur).
“Bagi tempoh Januari hingga 3 Mei 2025, KPDN Selangor telah mencatatkan 35 kes melibatkan komoditi gas memasak (LPG) dengan nilai rampasan mencecah RM680,000,” katanya.
Menurutnya, KPDN Selangor akan terus memperkukuh peranan penguatkuasaan melalui pendekatan bersasar, berasaskan data serta berorientasikan pendidikan pengguna dan peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

