KPDN lancar Ops Gasak, gempur penyelewengan subsidi gas memasak

Armizan
Armizan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan operasi gas memasak atau Ops Gasak bagi menggempur penyelewengan dan ketirisan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi yang bermula 1 Mei depan dibuat selepas pihaknya menerima banyak aduan berkaitan LPG subsidi termasuk di dobi.

"Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion setahun dan jika ia tidak diselesaikan, kita risau implikasi kewangan akan mencecah RM4 bilion," katanya menerusi sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Penguatkuasa KPDN yang ke-53, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, KPDN mendapat maklumat mengenai LPG bersubsidi yang dipindahkan untuk penjualan industri.

"Ada juga berlaku penyeludupan rentas sempadan, aduan mengenai sukatan kandungan LPG yang dibekalkan selain penggunaan LPG bersubsidi di dobi," ujar beliau.

Jelas Armizan, Ops Gasak akan digerakkan di seluruh negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"KPDN akan memperkukuhkan peranan penguatkuasaan melalui pendekatan bersasar berasaskan data serta berorentasikan pendidikan pengguna dan peniaga.

"Ini termasuk meningkatkan kecaknaan dan penyertaan rakyat agar menjadi pengguna lebih berinformasi, bertanggungjawab dan dilindungi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari Penguatkuasa KPDN disambut 17 April setiap tahun dan tema Komited Mendepani Cabaran dipilih bagi menzahirkan kepada semangat jitu warga penguat kuasa kementerian itu dalam mendepani pelbagai cabaran terkait perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan yang semakin kompleks serta mencabar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!