'Jangan beli kabel curi'

Yahaya bersama pegawai polis dan peniaga barang lusuh pada Program High Profile Policing: Perjumpaan Ketua Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh negeri Pahang di Kompleks Logistik Alor Akar pada Jumaat.
Yahaya bersama pegawai polis dan peniaga barang lusuh pada Program High Profile Policing: Perjumpaan Ketua Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh negeri Pahang di Kompleks Logistik Alor Akar pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Polis Pahang memberi amaran tegas kepada peniaga barang lusuh supaya tidak membeli kabel curi milik syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat komunikasi lain.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan segelintir peniaga yang membeli barangan curi tersebut menyebabkan permintaan terhadap kabel curi terus meningkat.

“Kita ingin mengingatkan peniaga barang lusuh supaya tidak membeli barangan curi. Bila tiada pembeli, tiadalah permintaan.

“Ini merupakan langkah pencegahan di peringkat awal supaya kegiatan mencuri ini tidak memberikan sebarang nilai kepada pelakunya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program High Profile Policing: Perjumpaan Ketua Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh negeri Pahang di Kompleks Logistik Alor Akar di sini, pada Jumaat.

Yahaya memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2023, sebanyak 211 laporan polis berkaitan kecurian kabel diterima dengan 31 tangkapan telah dilakukan.

Namun, katanya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 414 laporan diterima dan 100 tangkapan dilakukan, menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Oleh itu, kita memberi kesedaran kepada semua peniaga barang lusuh agar bersama-sama menangani isu ini.

“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan maklumat berkaitan kehilangan kabel yang berlaku,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, terdapat juga kes melibatkan individu yang mempunyai kemahiran dalam membuka, memasang dan memotong kabel, termasuk kabel milik TNB, yang boleh menyebabkan kejadian renjatan elektrik sehingga suspek dimasukkan ke hospital.

Beliau menjelaskan bahawa kes kecurian kabel telekomunikasi sering berlaku di kawasan terpencil seperti hutan atau pencawang jauh.

“Terdapat juga kes melibatkan kabel tidak aktif atau tidak digunakan, menyebabkan kejadian hanya disedari selepas kabel tersebut musnah atau dibakar.

“Keadaan ini menyukarkan siasatan kerana bahan bukti telah hilang. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan untuk menangani isu ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!