Amaran tegas guna kenderaan mikromobiliti di jalan awam - JPJ

JPJ Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam. Gambar hiasan
JPJ Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggunakan kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam.

Timbalan Pengarahnya, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, pihaknya telah mengambil maklum berkaitan satu video tular berdurasi 18 saat yang memaparkan tiga individu dipercayai menaiki kenderaan terbabit.

“JPJ ingin menegaskan bahawa perbuatan berkenaan melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada individu terlibat, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.

“Menurut peruntukan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], mana-mana individu yang menggunakan kenderaan tidak dibenarkan di atas jalan awam boleh disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah dilarang, termasuk e-skuter, papan imbangan (hoverboard), roda tunggal (monowheel), segway, dan basikal elektrik tanpa kelulusan jenis, berdasarkan Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.

“Kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian dan bukan di atas jalan awam.

“JPJ memandang serius kesalahan ini dan orang awam disarankan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta tidak menggunakan kenderaan yang dilarang bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan memantau pergerakan anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan kenderaan mikromobiliti.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular sebuah video menerusi laman TikTok yang memaparkan tiga individu menaiki skuter elektrik dipercayai di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) berhampiran Bachang, di sini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!