Dua rakan jadi suruhan along didakwa lakukan khianat, baling molotov cocktail

IPOH - Dua lelaki yang menjadi orang suruhan ceti haram atau along dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas lima pertuduhan melakukan khianat dengan api dan membaling molotov cocktail dalam kejadian di Kampar dan Ipoh, bulan lalu.
Tertuduh, Kok Wan Liang, 37, bekerja sebagai penghantar barang mengaku bersalah manakala rakannya, Lin Jia He, 25, warga Taiwan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Bagi dua pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama membaling botol kaca mengandungi petrol dengan maksud hendak menyebabkan kemusnahan rumah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ke atas dua kediaman di Kampung Baru Kuala Kuang, Ipoh dan Taman Bandar Baru, Kampar antara jam 2.50 pagi hingga 4.30 pagi pada 10 April 2025.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat penjamin warga Malaysia.
Sementara itu, di kamar berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan melakukan khianat dengan maksud yang sama ke atas dua kediaman dan menyebabkan kecederaan kepada seekor anjing peliharaan mangsa jenis Rottweiler.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di Panorama Lapangan Perdana, Ipoh dan Taman Bandar Baru, Kampar antara jam 3 petang hingga 12.30 pagi pada 2 April hingga 8 April 2025.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Hakim Azizah Ahmad tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Wan Liang yang mengaku bersalah atas semua pertuduhan.
Beliau turut menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Jia He yang mohon dibicarakan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Dalam kes ini, Jia He yang diwakili Peguam R R Segaran turut minta dibicarakan atas satu pertuduhan berasingan melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Panorama Lapangan Perdana, Ipoh jam lebih kurang 12.58 tengah hari pada 25 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary dan NM Moganaraj Mithra manakala Wan Liang tidak diwakili peguam.
Tarikh 23 Julai ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan fakta kes.
Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah hospital swasta di Ipoh dan kawasan perumahan di Chemor selepas dipercayai terlibat dalam kes membaling bom petrol ke arah sebuah rumah di Ipoh.
Siasatan polis kemudiannya mendapati kedua-dua suspek mula berkenalan melalui laman sosial sejak Ogos 2024 sebelum terlibat dalam kes khianat bermula Mac lalu.
Modus operandi mereka dipercayai menerima arahan daripada seorang ejen sindiket dari negara jiran dan setiap kali melakukan jenayah, suspek akan dibayar sebanyak 300 dolar Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

