Polis cekup dua lelaki disyaki cuba lakukan samun

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki yang disyaki cuba melakukan samun terhadap seorang wanita di kawasan Bandar Seri Alam, Masai, pada petang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, tular satu video berdurasi 1 minit di Facebook memaparkan kedua-dua lelaki warga tempatan itu melakukan cubaan samun beg tangan mangsa.
“Berdasarkan maklumat, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 35 tahun itu ditahan sekitar jam 6.20 petang pada Khamis di kawasan Seri Alam.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis turut merampas beberapa barangan seperti sebuah motosikal jenis Yamaha, dua telefon bimbit dan dua set pakaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula Jumaat hingga Rabu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan rompakan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000," katanya.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes berkenaan. Kerjasama orang awam amat dihargai bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
Saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hamizan Fakhri di talian 010-4338032 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-38614222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
