Status tanah Kampung Melayu Majidee: Terpulang kepada MB buat keputusan

Kampung Melayu Majidee terletak di tengah bandar raya Johor Bahru. Gambar kecil: Dzulkefly
Kampung Melayu Majidee terletak di tengah bandar raya Johor Bahru. Gambar kecil: Dzulkefly
A
A
A

JOHOR BAHRU – Penukaran status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal bergantung kepada budi bicara Menteri Besar untuk memutuskannya.

Bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dzulkefly Ahmad berpandangan bahawa perkara itu berada dalam bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti termaktub dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini sebenarnya tidak dinyatakan secara jelas sama ada dalam Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 atau dalam Enakmen Rizab Melayu (ERM) Johor 1936.

“Apabila timbul keadaan sebegini, ia terpulang kepada budi bicara Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat keputusan kerana menurut Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), dinyatakan bahawa tanah merupakan urusan atau bidang kuasa PBN,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya.

Dzulkefly yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, terdapat kes terdahulu di Johor termasuk di Bandar Baru Uda (BBU) yang pada asalnya berpajakan, tetapi kemudiannya diluluskan pertukaran kepada hak milik kekal oleh PBN.

“Mengambil contoh pengalaman di Bandar Baru Uda yang pada asalnya merupakan pegangan hak milik pajakan, kemudian diluluskan oleh PBN untuk ditukar kepada pegangan hak milik kekal (freehold), dan terdapat juga TRM di Johor yang memiliki pegangan hak milik kekal.

“Maka penyelesaian isu tuntutan penduduk Kampung Melayu Majidee ini kembali kepada budi bicara dan kebijaksanaan PBN,” katanya yang juga bekas ADUN Kota Iskandar.

Isu TRM Majidee kembali hangat susulan kebimbangan lebih 40,000 penduduk terhadap tempoh pajakan yang bakal tamat pada 2053.

Pada 27 April lalu, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar dilaporkan menasihatkan penduduk supaya memohon lanjutan pajakan.

Artikel Berkaitan:

Namun, Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) menegaskan bahawa permohonan menukar status tanah telah dikemukakan selepas merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Abdul Rahim dilaporkan berkata, status Tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri 99 tahun.

Katanya, status itu bakal berakhir pada tahun 2053 atau 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tentang masa depan mereka termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!