Penduduk rayu status tanah diubah kepada hak milik kekal

Abdul Rahim (tengah) pada Kampung Melayu Majidee hadir Majlis Taklimat dan Jamuan Hari Raya anjuran Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee pada Ahad.
Abdul Rahim (tengah) pada Kampung Melayu Majidee hadir Majlis Taklimat dan Jamuan Hari Raya anjuran Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee di sini terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada Tanah Rizab Melayu (TRM) berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff, berkata isu tersebut membimbangkan kerana kebanyakan penduduk telah menetap di kampung berkenaan sejak era 1950-an.

“Tempoh pajakan akan tamat pada tahun 2053, hanya tinggal 28 tahun sahaja lagi. Jika tiada tindakan segera, penduduk berisiko kehilangan tanah pusaka yang diwarisi turun-temurun.

“Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat dan Jamuan Hari Raya Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee, pada Ahad.

Kampung Melayu Majidee di tengah bandar raya Johor Bahru.
Kampung Melayu Majidee di tengah bandar raya Johor Bahru.

Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menyerahkan permohonan rasmi kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 8 September tahun lalu, lengkap dengan petisyen dan dokumen berkaitan.

“Namun, sehingga kini kami masih belum menerima sebarang maklum balas. Malah surat permohonan temu janji yang dihantar pada 27 Januari lalu juga belum dijawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian penduduk Kampung Melayu Majidee hadir Majlis Taklimat dan Jamuan Hari Raya anjuran Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee pada Ahad.
Sebahagian penduduk Kampung Melayu Majidee hadir Majlis Taklimat dan Jamuan Hari Raya anjuran Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee pada Ahad.

Tambah Abdul Rahim, setakat ini pihaknya mengesan sebanyak 12 lot tanah dalam kawasan kampung tersebut telah bertukar kepada status hak milik kekal.

“Walaupun latar belakang pemilikan lot-lot tanah ini berbeza, semuanya terletak dalam kawasan Kampung Melayu Majidee. Ini membuktikan bahawa penukaran status kepada hak milik kekal tidak mustahil untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan tersebut demi menjamin kelangsungan komuniti Melayu di kawasan bandar.

“Kami tidak mahu nasib kami berakhir seperti penduduk Kampung Baru yang terpaksa turun naik mahkamah mempertahankan hak mereka.

“Jangan jadikan isu Kampung Melayu Majidee sebagai modal pilihan raya semata-mata. Suara penduduk perlu didengar dan diperjuangkan sepanjang masa,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!