Penduduk Kampung Melayu Majidee perlu mohon lanjutan pajakan TRM

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan risiko kehilangan tanah susulan tempoh pajakan 99 tahun yang bakal tamat dinasihatkan supaya segera membuat permohonan lanjutan pajakan.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, permohonan lanjutan itu penting kerana status Tanah Rizab Melayu (TRM) menyukarkan pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal.
"Apabila semakan dibuat terhadap Kanun Tanah Negara, ia memang tidak membenarkan TRM ditukar kepada milikan kekal. Jadi tidak perlulah membuang masa, sebaliknya teruskan dengan permohonan lanjutan tempoh pajakan.
"Permohonan boleh dibuat mengikut pilihan masing-masing, sama ada untuk 30 tahun, 60 tahun atau 99 tahun," katanya selepas Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad (PGB) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan risiko kehilangan tanah berikutan baki tempoh pajakan yang tinggal hanya 28 tahun.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, permohonan penduduk Kampung Melayu Majidee untuk menukar status tanah daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal perlu diselesaikan dengan teliti oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang terletak di tengah bandar raya menjadikan permohonan tersebut wajar diperhalusi.
Cadangan itu dikemukakan selepas lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee meluahkan kebimbangan apabila terus hidup dalam dilema berikutan status tanah mereka yang masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!