OKU tertekan pedal minyak, SUV rempuh Laman Selera MPAJ

AMPANG - Tertekan pedal minyak semasa ingin memarkir, sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner merempuh gerai di Laman Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 4.15 petang di Jalan Kerja Air Lama itu, siasatan mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut dipandu oleh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan fizikal iaitu di bahagian kaki.
Beliau berkata, kemalangan berlaku semasa pemandu SUV itu memandu kenderaannya untuk bergerak masuk ke petak parkir OKU.
"Namun secara tiba-tiba, pemandu berusia 67 tahun berkenaan tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan.
"Ia kemudiannya terbabas masuk ke dalam Laman Selera MPAJ dan melanggar peralatan yang ada di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Namun begitu, beliau berkata, kejadian tersebut tidak membabitkan kemalangan jiwa.
"Ia hanya melibatkan kerosakan kenderaan dan harta benda.
"Kes ini telah disiasat di bawah Rule 10 LN166/59," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
