Cerminan semangat kesukanan Malaysia

RAMAI peminat sukan tanah air tidak menyangka jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan kembali ke trek.
Andaian kebanyakan pemerhati sukan yang melihat pelumba berusia 37 tahun itu akan menggantung basikal ternyata meleset.
Malah ada yang mencongak atlet yang berasal dari Terengganu itu akan menyertai barisan kejurulatihan skuad berbasikal negara juga tersasar.
Tanggapan tersebut tercetus selepas Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe berdepan insiden malang di Paris gara-gara kesilapan teknikal mendahului pacer.
Impian untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik 2024 pada Ogos tahun lalu tidak kesampaian.
Bukan itu yang dimahukan, namun ia menjadi pengalaman berharga buat Azizulhasni atau terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman yang tekad bangkit dengan lebih kuat.
Enggan mengalah, selagi impian belum tercapai masih ada peluang buat beliau untuk menebus kecewa.
Teka-teki masa depannya terjawab baru-baru ini apabila Azizulhasni membuat kejutan untuk terus berkayuh, namun dengan langkah berbeza iaitu bergerak secara profesional.
"Harapan saya, mungkin di Sukan Asia atau Sukan Komanwel akan ada sesuatu yang manis untuk saya jadikan sebagai penutup yang indah. Itu harapan saya," katanya.
Di sebalik kisah ini ada sesuatu yang wajar rakyat Malaysia pelajari iaitu mengenai semangat melawan, jiwa membara, pengorbanan, minda juara, gigih berusaha dan hati kental.
Tiada langsung dalam kamus Azizulhasni sifat putus asa, mudah mengalah, lemah semangat dan menyerah kalah.
Ia bukan sahaja boleh diterjemahkan buat warga sukan, tetapi meliputi ruang lingkup yang lebih luas dan pelbagai bidang tanpa mengira siapa sahaja.
Malah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut kagum dan bangga dengan semangat Azizulhasni.
"Dia seorang atlet yang luar biasa dan mempunyai semangat yang tinggi. Bukan mudah, dia pernah menjalani pembedahan jantung dan kemudian beraksi di Sukan Olimpik Paris.
"Kita rakyat Malaysia perlu sokong dan doakan kejayaan dia," katanya.
Malaysia memerlukan lebih ramai atlet seperti Azizulhasni bagi menggalas cabaran negara di pentas dunia.
Bukan mudah, namun dengan iltizam kuat daripada pucuk pimpinan negara tiada yang mustahil.
Idea itu dibuat oleh mantan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib pada satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.
Negara memerlukan satu dasar sukan yang dinamik dengan memupuk minat terhadap sukan sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Sukan bukan lagi sekadar berlari dan melompat menerusi Pendidikan Jasmani (PJ) seperti yang dilalui sejak berdekad lalu, namun ia perlu dijadikan sebagai budaya, gaya hidup dan rutin harian.
Anak-anak perlu dipupuk serta didedahkan dengan sukan sejak kecil lagi dan proses tersebut berterusan sehingga ke peringkat menengah, kolej dan universiti untuk bergelar atlet profesional.
Tempoh sejam seminggu untuk PJ tidak mencukupi, sebaliknya wajar ditambah sehingga setengah hari seperti yang dipraktikkan di United Kingdom.
Keazaman politik yang tinggi daripada pembuat dasar di Putrajaya amat diperlukan.
Ia boleh bermula di peringkat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Idea daripada pakar-pakar yang terdiri daripada ahli akademik, pengamal media, sektor korporat, malah bekas-bekas atlet amat diperlukan untuk mengubah landskap sukan negara.
Sokongan ibu bapa juga amat penting untuk membuka mata anak bagi menceburi sukan.
Sukan adalah industri besar yang mencecah bilion ringgit, satu kerugian andai terlepas peluang hebat ini untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan terkemuka.
*Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
