Komponen injap pelampung rosak punca limpahan air di Menara Kinabalu

Video tular di media sosial memaparkan insiden limpahan air di Menara Kinabalu.
Video tular di media sosial memaparkan insiden limpahan air di Menara Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Kerosakan pada komponen injap pelampung tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran di aras 11 Menara Kinabalu dikenal pasti sebagai punca berlakunya limpahan air yang menyebabkan ruang pejabat di Blok A bangunan itu banjir, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Philemon Lajawai berkata, insiden itu menyebabkan kawasan pejabat seluas 2,588 meter persegi di aras 11 hingga tujuh, termasuk kawasan lif dan tangga kecemasan dinaiki air.

“Limpahan ini berpunca daripada kerosakan komponen injap pelampung tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran. Pada masa sama, pam air turut mengepam air masuk secara automatik dan berterusan ke tangki sistem paip tegak berair (wet riser).

“Kelewatan pihak syarikat pengurusan fasiliti menutup pam air telah menyebabkan air terus melimpah dan membanjiri ruang-ruang pejabat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, dianggarkan kira-kira 34,000 liter air telah dipam masuk secara berterusan dalam tempoh 45 minit, mengakibatkan kejadian limpahan itu.

“Komponen yang rosak telah diganti serta-merta. Bagi tujuan keselamatan dan mengurangkan risiko kerosakan pada sistem lif, operasi lapan lif dihentikan serta-merta semasa kejadian.

“Bagaimanapun, sebuah lif kakitangan disahkan selamat dan kembali beroperasi pada jam 6 petang hari sama, manakala lif kargo tidak terjejas dan berfungsi seperti biasa. Kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan pada jam 11.30 malam,” katanya.

Philemon memaklumkan, JKR Sabah akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan tiada unsur kecuaian dan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Sebelum itu, beberapa video tular di media sosial memaparkan insiden limpahan air di Menara Kinabalu, pusat pentadbiran kerajaan Sabah yang turut menempatkan pejabat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!