Malaysia pantau rapat ketegangan Pakistan-India - Khaled Nordin

Mohamed Khaled (kanan) menyemai pingat pada Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) PVATM Johor ke-56, pada Khamis.
Mohamed Khaled (kanan) menyemai pingat pada Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) PVATM Johor ke-56, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Malaysia memantau rapat ketegangan memuncak antara Pakistan dan India susulan konflik terbaru di Kashmir, memandangkan kedua-dua negara itu merupakan sahabat kepada Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan berharap krisis antara dua kuasa nuklear Asia Selatan itu tidak mencetuskan peperangan.

“Dalam isu ini, Malaysia sama seperti negara lain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyeru agar ketegangan ini dikawal bagi mengelakkan tercetusnya peperangan.

“Jika berlaku konflik bersenjata, impaknya amat besar khususnya kepada rakyat kedua-dua negara. Malaysia tidak mahu melihat sahabat-sahabat kita ini berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) PVATM Johor ke-56 di sini, pada Khamis.

Sebelum itu, Pakistan mendakwa menerima maklumat risikan yang dipercayai, bahawa India merancang untuk melancarkan serangan ketenteraan dalam masa terdekat.

Ketegangan meningkat susulan serangan berdarah di kawasan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu, mengorbankan 26 pelancong.

Pakistan pula menegaskan sokongan moral dan diplomatik kepada perjuangan rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata Kementerian Pertahanan telah mengemukakan permohonan perolehan aset baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Artikel Berkaitan:

“Tahun ini kerajaan akan membentangkan laporan RMK-13 dan kita berharap permohonan itu mendapat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!