Cadang gabung persatuan veteran tentera - Khaled Nordin

JOHOR BAHRU- Persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran bergabung membentuk satu gabungan tunggal bagi memperkasa perjuangan dan menyusun semula gerakan mereka dengan lebih berkesan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat kewujudan persatuan sedia ada tetapi untuk memastikan suara dan isu dibangkitkan veteran dapat diperjuangkan secara kolektif dan dihormati.
“Setiap persatuan ada pandangan masing-masing. Jadi, bila tidak ada penyelarasan, perjuangan itu tidak berkesan dan mungkin tidak dihormati.
"Tujuannya bukan untuk menyekat, tetapi supaya gerakan ini lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran ATM (PVATM) kali ke-56 di Tiram di sini pada Khamis.
Menurut beliau, ketika ini terdapat 122 persatuan veteran berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan kementerian tidak menghalang penubuhan persatuan baharu selagi memenuhi syarat ditetapkan.
Terdahulu pada majlis sama, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM40,000 bagi kerja-kerja mengecat dan menaik taraf Pejabat PVATM di Johor Bahru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

