Grup WhatsApp kami masih aktif: Exco Perak

Sivanesan sempat menyapa seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Tapah ketika lawatannya hari ini.
Sivanesan sempat menyapa seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Tapah ketika lawatannya hari ini.
A
A
A

TAPAH - Kumpulan WhatsApp wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Perak masih aktif dan tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Menteri Besar meninggalkan kumpulan itu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, medium itu masih dijadikan platform untuk mereka berbincang hal urus tadbir kerajaan negeri.

"Kita ada grup WhatsApp DAP, ADUN PH dan kalangan ahli MMK juga semuanya masih aktif.

"Cumanya mungkin ada beberapa individu tidak berinteraksi secara kerap, tetapi mereka tidak meninggalkan dan group itu masih wujud," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Beliau mengakui masih belum berpeluang untuk bertemu sendiri dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas krisis politik negara berlaku minggu lalu.

Katanya, hanya sebahagian Exco antaranya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dapat bercakap dengan Ahmad Faizal menerusi satu program dua hari lalu, namun hanya melibatkan perbualan biasa bukan menyentuh isu pentadbiran negeri.

"Bagi saya kita tak perlu lagi mengosongkan pejabat, belum ada sebarang arahan dari pihak istana, ketika tempoh peralihan kerajaan Perak 2009 lalu, ketika itu saya juga Exco dan mereka minta saya 'stop', tetapi saya tak ikut (arahan) sehinggalah ketetapan dibuat dan diperkenan baginda Sultan sendiri.

"Dalam tempoh ini, perkhidmatan dan peruntukan di bawah portfolio saya akan tetap disalurkan seperti biasa kerana ini hak rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, kedudukan kerajaan Perak masih kabur berikutan keputusan Parri Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH menjadikan gabungan itu kehilangan majoriti daripada 30 kepada 28 kerusi.

Ketika ini, gabungan DAP, PKR dan Amanah dalam PH Perak mempunyai 28 kerusi, Bersatu (2), Barisan Nasional (25), Pas (3), dan wakil rakyat Bebas (1).

Terdahulu, ADUN Sungkai itu menyempurnakan penyerahan mesin dialisis Syarikat VK Kalyanasundram Sdn Bhd kepada Unit Hemodialisis Hospital Tapah.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM40,000 bagi pelaksanaan program kesihatan Hospital Tapah.