Malaysia perlu kekal bijak, elak terperangkap dalam perang tarif AS-China

SHAH ALAM - Malaysia perlu terus berdiplomasi dan kekal berkecuali dalam menghadapi konflik perdagangan global yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, negara perlu menggunakan pendekatan diplomasi dengan kebijaksanaan, ketenangan serta mengambil kira kepentingan jangka masa panjang.
Beliau turut memberi peringatan bahawa tarif bukan isu kecil dan boleh memberi kesan ekonomi yang mendalam sebagaimana pernah berlaku dalam sejarah dunia.
“Data statistik yang dikeluarkan pagi tadi oleh Jabatan Statistik AS menunjukkan negara itu mungkin akan mencatatkan pertumbuhan negatif selama dua suku berturut-turut. Ini petanda kepada kegawatan ekonomi.
"Sejak Februari 2025, AS merupakan rakan eksport terbesar Malaysia, saling mengatasi China dari semasa ke semasa. Jadi, kita harus berhati-hati, berdiplomasi dan merancang untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Perang Tarif AS: Apa Kesan Terburuk kepada Rakyat? yang berlangsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Justeru, Baharom menasihatkan Malaysia agar terus kekal neutral dan berkecuali memandangkan negara ini merupakan negara dagangan terbuka yang mudah terdedah kepada risiko global.
Ketika mengulas tentang lawatan Presiden China, Xi Jinping ke beberapa negara Asia Tenggara baru-baru ini yang mencetuskan kebimbangan seolah-olah rantau itu semakin mesra dengan Beijing dalam konteks perang tarif, beliau berpandangan bahawa adalah sukar untuk menolak kunjungan atau kerjasama strategik dengan mana-mana negara yang berpengaruh dalam konteks hubungan antarabangsa.
“Jika gajah (AS) sama gajah (China) berjuang, tidak mungkinlah kita hendak menolak apabila China datang melawat Malaysia. Kita tidak mahu dilihat berpihak kepada mana-mana,” ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa struktur ekonomi Malaysia yang terbuka menjadikan negara mudah terdedah kepada krisis global.
“Eksport dan import kita besar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jadi, kita mudah terkena risiko jika berlaku krisis. Sebab itu penting untuk kita terus kekalkan diplomasi,” ujarnya.
Tambahnya, lawatan Presiden China ke beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Vietnam dilihat sebagai isyarat penting kepada perkembangan hubungan serantau, sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih luas.
Menurut beliau, dalam ketidaktentuan geopolitik semasa, situasi tersebut sebenarnya membuka peluang kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih aktif sebagai pintu masuk dan keluar barangan dari dan ke negara ASEAN lain.
“Ini masa terbaik untuk kita mengoptimumkan perdagangan intra-ASEAN. Selain itu, kita juga boleh memperkukuhkan kerjasama dalam platform ASEAN Plus seperti ASEAN-China, ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) dan lain-lain,” katanya lagi.
Tambahnya, blok serantau itu boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!