‘Kalau ikut giliran tahun 2090 tapi ALLAH takdirkan tunai haji lebih awal’

MADINAH – “Kalau ikut giliran daftar haji, mungkin saya hanya dapat ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini pada usia 100 tahun, namun syukur direzekikan pasangan yang mendaftar awal, jadi dapatlah buat rayuan untuk bersama-sama tunaikan ibadat ini.”
Demikian luah seorang jemaah haji, Mohamad Shahizad Sarjudin, 35, yang memanjatkan kesyukuran apabila ibu mentua mendaftarkan nama isteri dan adik-beradik iparnya ketika usia mereka masih kecil untuk menunaikan haji.

“Saya mendaftar haji pada tahun 2016 selepas berkahwin. Kalau ikut giliran, mungkin tahun 2090 barulah dapat tunaikan haji dan ketika itu umur saya mungkin sudah mencecah 100 tahun.
“Tapi rezeki ALLAH dah tetapkan, dijodohkan dengan isteri yang telah mendaftar haji sejak di bangku sekolah.
"Alhamdulillah, adik-beradik ipar semua terpilih menjadi tetamu ALLAH, pasangan pula membuat rayuan dan dapat pergi sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Program Ziarah Dalam Masjid Nabawi yang dijadualkan khusus untuk jemaah haji yang baru tiba di Madinah pada Rabu.
Shahizad, yang berasal dari Skudai, Johor Bahru berkata, dia amat bersyukur dapat menziarahi makam Rasulullah SAW ketika berusia 35 tahun.
“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi suci Madinah. Masjid Nabawi sangat besar dan menenangkan.
“Saya amat bersyukur dapat ke sini sebab umrah pun tak pernah buat, tetapi terus dapat datang untuk menunaikan haji. Rasa besar sangat nikmat ALLAH SWT bagi,” katanya.
Seorang lagi jemaah haji, Nurasyikin Ashwa Muhamad Zailan, 29, meluahkan rasa terharu apabila mendengar sirah nabi yang disampaikan pembimbing ibadat haji dalam program berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini kisah-kisah nabi hanya didengari, tetapi apabila tiba di bumi Madinah, beliau dapat melihat sendiri lokasi yang berkaitan dengan kisah Rasulullah SAW.
“Barulah saya tahu apa yang perlu dibuat apabila nampak kubah hijau dan tahu lokasi Masjid Abu Bakar.
“Bila dengar kisah-kisah nabi, rasa terharu, teruja, sedih... macam-macam perasaan ada,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir bin Hussin @ Yusof, berkata jemaah haji yang baru tiba di sini pada Selasa telah dibawa menziarahi sekitar Masjid Nabawi menerusi Program Ziarah Dalam.
“Menerusi program itu, jemaah diberi penerangan oleh pembimbing ibadat haji di Madinah berkaitan adab menziarahi Madinah dan lokasi-lokasi lain sekitar sini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji yang masih berada di Malaysia supaya menjaga kesihatan sebagai persediaan menghadapi jadual program yang padat di Madinah.
“Sebaik sahaja jemaah tiba, keesokan harinya mereka akan dibawa menziarahi lokasi bersejarah termasuk Masjid Quba, ladang kurma, dan Makam Syuhada Uhud.
“Mereka juga akan diberi taklimat akhir dan penerangan ulang kaji untuk persediaan memasuki kota Makkah,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!