Rakyat Malaysia pilih teruskan rundingan isu tarif AS

Kaji selidik berkaitan cara terbaik berdepan 'perang tarif' yang diperkenalkan AS. Kaji selidik di aplikasi X merekodkan 76 peratus responden memilih meneruskan rundingan, manakala 24 peratus memilih negara membalas tarif lebih tinggi.
Kaji selidik berkaitan cara terbaik berdepan 'perang tarif' yang diperkenalkan AS. Kaji selidik di aplikasi X merekodkan 76 peratus responden memilih meneruskan rundingan, manakala 24 peratus memilih negara membalas tarif lebih tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM – Majoriti rakyat Malaysia memilih untuk meneruskan rundingan sebagai jalan terbaik bagi menghadapi ‘perang tarif’ yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Berdasarkan kaji selidik di tiga platform utama media sosial Sinar Harian iaitu Facebook, Instagram dan X, sebanyak 160 daripada 284 responden memilih untuk Malaysia meneruskan rundingan dengan negara terbabit berbanding mengambil tindakan balas dengan pengenaan tarif lebih tinggi.

Setakat jam 4 petang Rabu, dapatan kaji selidik di platform Facebook merekodkan sebanyak 96 responden atau 55 peratus memilih untuk meneruskan rundingan, manakala 76 responden (45 peratus) memilih membalas dengan tarif lebih tinggi.

Di Instagram pula, kaji selidik menunjukkan 60 responden (63 peratus) memilih meneruskan rundingan sebagai cara terbaik menghadapi isu tarif, diikuti 35 responden (37 peratus) yang memilih untuk mengenakan tarif balas.

Sementara itu, di platform X, 13 responden atau bersamaan 76 peratus turut menyokong langkah rundingan dengan AS, manakala empat responden (24 peratus) memilih agar Malaysia bertindak balas dengan mengenakan tarif lebih tinggi.

Seorang pengguna Instagram dengan akaun bernama turbulantdiagnosis berkata, Malaysia sebagai sebuah negara kecil perlu meneruskan rundingan dan mengamalkan dasar ekonomi terbuka membabitkan kedua-dua pihak iaitu AS dan China.

“Malaysia perlu berkecuali dalam urusan perang perdagangan antara AS dan China,” katanya.

Seorang lagi pengguna Instagram, fikri_heroaca turut berkongsi pandangan bahawa Malaysia sememangnya sentiasa mengutamakan kaedah rundingan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila sudah tiada jalan lain, kita mungkin tidak memilih untuk mengenakan tarif balas, tetapi mengambil langkah yang lebih luar kotak,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia dan beberapa negara dagang lain, mengikut kadar masing-masing.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan selama 90 hari terhadap lebih 75 negara, kecuali China.

Langkah tersebut disifatkan sebagai hasil daripada rundingan diplomatik dan semangat muhibah antara negara.

Pada Ahad lepas, Malaysia dilaporkan sedang berbincang dengan AS susulan langkah Trump yang mengenakan tarif timbal balik terhadap negara-negara dagang termasuk Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!