Trump, Presiden 'syok sendiri'

Trump turut menjemput beberapa 'orang kuat' beliau untuk tampil di pentas tersebut.
Trump turut menjemput beberapa 'orang kuat' beliau untuk tampil di pentas tersebut.
A
A
A

DETROIT - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meraikan 100 hari pentadbiran penggal kedua beliau di Rumah Putih dengan perhimpunan ala kempen pilihan raya di Michigan pada Selasa.

“Kita bersama-sama menyambut 100 hari pertama paling berjaya bagi mana-mana pentadbiran dalam sejarah Amerika. Kita baru sahaja bermula. Anda belum melihat apa-apa lagi,” ujarnya menerusi ucapan 'syok sendiri' kepada para penyokongnya.

Trump dengan angkuh menyebut tentang penurunan mendadak jumlah pendatang asing yang merentasi sempadan ke AS selepas beliau kembali memegang jawatan ketika menghebahkan senarai '100 hari kehebatan' pencapaian beliau.

“Menyingkirkan 'penceroboh' di bawah kempen deportasi secara besar-besaran bukan sekadar janji kempen saya, tetapi ia adalah tanggungjawab sebagai ketua negara untuk melindungi Amerika.

“Saya menggunakan jawatan Presiden untuk melakukan 'perubahan yang mendalam' di Washington dalam tempoh hampir seabad.

“Keputusan tinjauan umum terhadap populariti saya yang semakin merudum juga ternyata palsu,” katanya yang menjadikan pentas tersebut untuk mengutuk pendahulunya, Joe Biden dan musuh politik beliau.

Menerusi ucapan berdurasi selama 90 minit itu, Trump sekali lagi mempertahankan keputusan beliau yang melancarkan perang tarif hingga menghuru-harakan ekonomi seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, kadar levi sebanyak 145 peratus yang dikenakan ke atas China kerana mereka telah 'merampas' lebih banyak pekerjaan dari kami berbanding negara lain.

“Tetapi, ia tidak bermakna Beijing dan Washington tidak boleh 'bergaul mesra'. Perjanjian perdagangan dengan China bakal dicapai dan ia akan menjadi urus niaga yang adil,” jelasnya lagi.

Trump yang gemar bercakap semberono juga menyatakan kononnya pentadbiran beliau sudah menamatkan inflasi.

Hakikatnya, data dikeluarkan Biro Statistik Buruh menunjukkan kadar inflasi yang perlahan pada tahun lalu telah meningkat sebanyak 2.4 peratus.

Beliau juga dengan yakin menyatakan harga telur telah menurun sebanyak 87 peratus, satu dakwaan yang bercanggah dengan data harga terkini.

Meskipun sokongan ke atasnya semakin menurun, Trump masih boleh menarik nafas lega kerana mempunyai penyokong yang masih setia dan melihat prestasi beliau sebagai perkara yang membanggakan.

“Saya amat teruja. Beliau berupaya mengendalikan apa jua perkara dan memberikan laporannya kepada rakyat Amerika. Saya percaya tarif pastinya akan berpihak kepada kami,” kata Teresa Breckinridge di Atlanta. - Agensi

Info

- Menurut keputusan kaji selidik Gallup, Trump merupakan satu-satunya Presiden pasca Perang Dunia Kedua yang meraih kurang separuh sokongan umum selepas 100 hari memegang jawatan di Rumah Putih dengan tahap sokongan hanya 44 peratus.

- Majoriti pengundi Parti Republikan masih menyokong beliau.

- Jawatankuasa Kebangsaan Parti Demokrat (DNC) menyifatkan tempoh 100 hari pertama Trump sebagai 'kegagalan besar'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!