100 hari pentadbiran Trump bak dilanda gempa

Tindakan Trump yang sering berubah-ubah dalam tempoh kira-kira tiga bulan telah membingungkan banyak pihak.
Tindakan Trump yang sering berubah-ubah dalam tempoh kira-kira tiga bulan telah membingungkan banyak pihak.
A
A
A

WASHINGTON - Sejak kembali ke Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah melancarkan perang tarif yang tidak pernah berlaku sebelum ini selain memotong bantuan asing hingga menjejaskan dana disalurkan kepada negara bergolak.

Trump turut memperlekehkan sekutu di bawah pakatan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menerima naratif Rusia berhubung kempen pencerobohannya ke atas Ukraine.

Paling mengejutkan, beliau juga mengumumkan rancangan kontroversi untuk mengilhak Greenland, mengambil alih kawalan ke atas Terusan Panama dan menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS.

Pentadbiran Trump 2.0 untuk tempoh 100 hari sejak 20 Januari lalu sehingga Selasa sememangnya 'huru-hara' bak dilanda gempa berikutan setiap keputusannya di luar jangkaan dan acapkali membuat pusingan U yang sedikit sebanyak mencacatkan tatanan dunia berasaskan peraturan yang dipimpin AS selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Sehingga Khamis lalu, Trump telah menandatangani 139 perintah eksekutif sejak beliau kembali ke Rumah Putih.
Sehingga Khamis lalu, Trump telah menandatangani 139 perintah eksekutif sejak beliau kembali ke Rumah Putih.

“Trump lebih radikal berbanding lapan tahun lalu,” ujar Elliott Abrams, seorang konservatif yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden ke-40 AS, Ronald Reagan dan Presiden ke-43 AS, George W Bush sebelum dilantik sebagai Wakil Khas ketika penggal pertama Trump di Rumah Putih.

Agenda 'America First' beliau sebenarnya telah menimbulkan sengketa dengan rakan Washington di samping menguatkan lagi musuh mereka.

Tindakannya yang sering berubah-ubah dalam tempoh kira-kira tiga bulan telah membingungkan banyak pihak.

Artikel Berkaitan:

Pengkritik melihat ia sebagai isyarat kemunduran demokrasi di AS yang turut mencetuskan kebimbangan kepada negara asing.

Trump seperti orang hilang arah apabila beliau melancarkan serangan lisan ke atas hakim, memberi tekanan kepada universiti terutamanya Harvard dan sewenang-wenangnya memindahkan migran ke penjara El Salvador di bawah kempen pengusiran golongan tersebut yang diperjuangkannya sejak pentadbiran penggal pertama.

“Kita sedang menyaksikan 'gangguan besar' dalam hal ehwal dunia. Tiada siapa tahu apa lagi 'malapetaka' akan berlaku pada masa akan datang,” kata bekas perunding Asia Barat, Dennis Ross.

Meskipun banyak pihak percaya 'kerosakan' dibuat Trump akan memberi kesan jangka masa panjang, namun segelintir pemerhati yakin ia masih boleh dipulihkan jika Presiden ke-47 AS itu menggunakan pendekatan lebih lembut.

Trump sudah pun membuat pusingan U terhadap beberapa isu yang dibantah ramai termasuk pelaksanaan tarif tinggi yang menggoncang ekonomi dunia.

'America Alone'

Kedudukan Washington sebagai kuasa besar dunia mula goyah apabila beberapa sekutu Eropah berusaha mencari alternatif bagi meningkatkan industri pertahanan mereka sendiri dengan mengurangkan kebergantungan kepada senjata AS.

Rumah Putih cuba menolak tanggapan banyak pihak yang mendakwa Trump sedang meruntuhkan kredibiliti AS dengan pelbagai keputusan tak masuk akal.

“Trump sebenarnya mengambil tindakan pantas untuk menangani krisis Ukraine-Rusia dengan membawa pihak bertelagah itu ke meja rundingan. Selain itu, beliau juga cuba melindungi pekerja Amerika dengan bertindak tegas terhadap China serta berjaya memujuk Iran untuk berdialog.

“Beliau cuba melindungi sempadan negara dan memastikan Huthi menerima 'hukuman' yang sewajarnya,” menurut jurucakap Majlis Keselamatan Rumah Putih, Brian Hughes yang cuba mempertahankan tindakan agresif Trump.

Sementara itu, beberapa pakar bimbang masa depan sistem global berasaskan perdagangan bebas, kedaulatan undang-undang dan menghormati integriti sesebuah wilayah yang telah membentuk dunia sejak lapan dekad lalu di bawah ketuanan AS juga akan terkesan.

Trump menyifatkan pengenalan tarif tinggi oleh pentadbiran beliau sebagai 'ubat', namun objektif sebenar langkah sedemikian masih tidak jelas memandangkan pentadbiran beliau sedang mengadakan rundingan secara berasingan dengan negara terlibat.

Pendirian Trump yang berpihak kepada Moscow dan mengutamakan langkah untuk memulihkan hubungan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin juga mencetuskan rasa khuatir kepada sekutunya di Eropah.

Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, moto 'America First' berpotensi menjadi 'America Alone' kerana dasar berubah-ubah Trump.

Penganalisis percaya Trump cuba mengembalikan struktur dunia berasaskan gaya Perang Dingin yang mana kuasa besar membahagikan wilayah pengaruh geografi untuk mempertahankan kepentingan strategik masing-masing.

Bekas diplomat veteran AS, David Miller berpendapat masih belum terlambat untuk Trump membuat pusingan U sekali lagi terhadap dasar luar beliau.

“Jika Trump berpegang teguh dengan dasar sedia ada, bakal penggantinya boleh cuba mengembalikan peranan Washington sebagai penjamin tatanan dunia meskipun terpaksa menghadapi cabaran besar.

“Segala 'huru-hara' yang dilakukan Presiden masih boleh dipulihkan. Tetapi, 'kerosakan' hubungan bersama sekutu AS di samping manfaat besar diperoleh seteru Washington sudah tidak terkira,” jelasnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!