Empat teras tingkat kesiapsiagaan, keupayaan ATM - Mohd Nizam

PORT DICKSON – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar menggariskan empat teras falsafah pemerintahan yang akan digunapakai sepanjang tempoh kepimpinannya.
Mohd Nizam menyampaikan Perintah Ulung Panglima ATM ke-23 di Padang Kawad dan Auditorium Akademi Tentera Darat, Kem Segenting, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, teras falsafah tersebut digariskan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tempur ATM.
Menurutnya, di bawah teras kesiapsiagaan operasi, ATM akan menubuhkan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuh pertahanan negara.
“Saya menyeru semua panglima perkhidmatan memberikan komitmen padu dalam merealisasikan pembangunan MPSE sebagai sebahagian daripada struktur pertahanan negara yang lebih menyeluruh.
“Dalam konteks ini, aspek kesiapsiagaan tidak boleh hanya bersifat rutin atau retorik semata-mata,” katanya.
Empat pertimbangan asas yang perlu dititikberatkan ialah perintah dan kawalan, pengurusan organisasi, sokongan logistik yang mampan, serta latihan yang sistematik dan berfokus.
Bagi teras kedua, iaitu pelaburan dan pembangunan modal insan yang holistik, beliau menegaskan bahawa ATM perlu mengenal pasti potensi, membimbing, melatih serta menyediakan pendedahan dan pengalaman mencukupi kepada bakal pemimpin dan anggota masa hadapan.
“Ini penting agar mereka memiliki kredibiliti yang dinilai secara telus berasaskan kompetensi, merit dan prestasi tugas.
“ATM perlu dipacu oleh kepimpinan yang berwibawa, maka setiap pelantikan dan perancangan kepimpinan mesti diasaskan kepada kelayakan sebenar, bukan dipengaruhi hubungan peribadi, budaya pilih kasih atau keutamaan kepada keselesaan,” katanya.
Tambahnya, setiap perkhidmatan bertanggungjawab untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang tidak kompeten, tidak bermoral atau gagal menunaikan tanggungjawab.
Jelasnya, mereka yang tidak lagi sesuai berkhidmat harus dinilai secara objektif dan, jika perlu, ditamatkan perkhidmatan demi menjaga integriti dan kredibiliti ATM.
Teras ketiga berkait dengan kelestarian dan kesejahteraan kehidupan warga ATM, di mana antara keutamaannya ialah memastikan pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan asas diberi perhatian.
“Setiap perkhidmatan perlu melaksanakan program turun padang secara berkala agar barisan pemerintahan tertinggi dapat menilai sendiri keadaan sebenar warga ATM.
“Veteran ATM yang merupakan nadi sejarah dan pengorbanan mereka tidak harus dilupakan. Justeru, kebajikan dan kesejahteraan golongan ini wajar diberi perhatian,” katanya.
Bagi teras keempat iaitu memperkukuhkan diplomasi pertahanan dan hubungan ketenteraan, Mohd Nizam berkata, hubungan erat dengan angkatan tentera negara serantau dan antarabangsa perlu terus diperkukuh melalui rangkaian diplomasi dua hala dan pelbagai hala.
Terdahulu, beliau membuat pemeriksaan kawalan kehormatan utama yang didirikan oleh Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Mohd Shafiq Ruslan, serta diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Kapten Muhammad Fauzee Japar.
Turut hadir semasa perbarisan dan perutusan ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


