Pengurus syarikat rugi RM1.36 juta terperdaya pelaburan palsu

GEORGE TOWN - Seorang pengurus syarikat perakaunan swasta kerugian RM1.36 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian melalui aplikasi BIONM.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 70 tahun melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di Bursa Saham yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan antara lapan hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan dalam tempoh dua bulan.
"Mangsa yang berminat telah diminta untuk memuat turun aplikasi BIONM dan mendaftar sebagai ahli.
"Mangsa kemudiannya melabur melalui aplikasi berkenaan dan telah membuat sebanyak 14 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun berbeza," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Hamzah berkata, mangsa mula menyedari dirinya telah terperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1 juta sebagai komisen kepada pihak BIONM bagi tujuan pengeluaran keuntungan RM11 juta yang kononnya telah terkumpul dalam aplikasi tersebut.
Susulan itu, Hamzah mengingatkan orang ramai bahawa penyertaan dalam skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
