Padah cuba rasuah polis, pemandu lori didenda RM8,000

Chin Haur (tengah) ketika hadir di Mahkamah Butterworth pada Rabu.
Chin Haur (tengah) ketika hadir di Mahkamah Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merasuah seorang anggota polis bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana memiliki air ketum, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tang Chin Haur, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Chin Haur didakwa menawarkan suapan wang tunai RM3,900 kepada Koperal Mohd Aliyudin Abdul Aziz sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki cecair disyaki air ketum.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Jun 2021 di khemah sekatan jalan raya Jalan Sungai Bakau, Nibong Tebal.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Chin Haur memohon hukuman ringan atas alasan menanggung kedua-dua ibu bapanya, seorang isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!