Pesara kerajaan rugi RM229,800 diperdaya 'Zizah'

Seorang lelaki warga emas kerugian RM229,800 selepas diperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Zizah. - Gambar hiasan, gambar kecil: Helmi
Seorang lelaki warga emas kerugian RM229,800 selepas diperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Zizah. - Gambar hiasan, gambar kecil: Helmi
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga emas kerugian RM229,800 selepas diperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Zizah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula pada 4 Mac lalu sekitar jam 2.52 petang apabila mangsa, pesara kerajaan berusia 62 tahun, menerima panggilan telefon daripada seorang wanita warga Indonesia.

“Wanita itu mendakwa mangsa adalah tukang paip yang akan membaiki paip rumahnya. Mangsa menafikan perkara itu namun hubungan mereka berterusan melalui perbualan telefon,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, sepanjang perkenalan itu, suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan skim pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh dua hari.

“Suspek turut menghantar satu pautan laman web dikenali sebagai timelessworld.vip untuk dimuat turun oleh mangsa.

“Terpedaya dengan janji keuntungan tinggi dalam masa singkat, mangsa membuat tujuh transaksi ke lima akaun bank berbeza, bermula dengan jumlah kecil,” katanya.

Tambah beliau, mangsa menerima semula modal bersama sedikit keuntungan, menyebabkan dia semakin yakin dan melakukan tujuh lagi transaksi ke akaun sama.

“Namun, selepas transaksi kedua, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan dan suspek gagal dihubungi,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Helmi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan luar biasa.

“Orang awam digalakkan merujuk kepada sumber rasmi seperti portal SemakMule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID), Alert List Bank Negara Malaysia, serta laman Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!