Johor bukan sekadar dominasi bola sepak

MASIH terngiang-ngiang kemeriahan kejohanan Piala Malaysia pada Sabtu lalu. Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sekadar menambah koleksi trofi kejuaraan, bahkan menandakan lahirnya satu kuasa sukan baharu di negara ini.
JDT melengkapkan kejayaan triple treble apabila menjuarai Piala Malaysia kali ini, menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas memenangi Liga Super dan Piala FA musim ini serta menjuarai ketiga-tiga gelaran pada dua musim lepas.
Kejayaan gilang gemilang itu turut menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri bermandikan cahaya pada sambutan ‘Johor Darul Ta'zim (JDT) Chapter 2: The 11’ sempena kejayaan pasukan JDT menjuarai Liga Super kali ke-11 berturut-turut.
Skuad Harimau Selatan kini semakin mencuri tumpuan di peringkat antarabangsa apabila kerap menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh AFC.
Penyertaan aktif JDT dalam kejohanan berprestij itu memberikan sinar baharu kepada bola sepak Malaysia dan sering memperlihatkan prestasi yang cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Hari ini, JDT menjadi mercu tanda kepada bagaimana sukan harus diurus dengan profesional, disiplin dan pandangan jauh.
Sebenarnya, Johor tidak hanya mahu mendominasi bola sepak tetapi turut bercita-cita menjadikan sukan lain sebagai sebahagian daripada identiti dan ekonomi negeri.
Pada Mac lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang merupakan arkitek yang membangunkan Harimau Selatan turut mengumumkan beberapa ikon sukan dilantik sebagai Duta Sukan Johor.
Ia termasuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; jaguh seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov dan bekas pemain bola sepak Australia, Tim Cahill.
Menurut Tunku Ismail, perkara itu membuktikan fokus baginda bukan kepada pembangunan bola sepak semata-mata, sebaliknya terhadap semua jenis sukan di negeri tersebut.
Kehadiran Chong Wei sebagai duta sukan akan memberi impak besar kepada pembangunan atlet muda di Johor.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga mampu memberi inspirasi dan bimbingan kepada bakat-bakat muda di negeri itu dalam sukan badminton.
Di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail, pelbagai program pembangunan sukan telah diperkenalkan termasuk pembinaan fasiliti bertaraf dunia, pelatihan atlet muda, dan galakan terhadap sukan di peringkat akar umbi.
Ia turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk sekolah, universiti dan institusi latihan profesional bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Antaranya, pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) yang menjadi hab kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti belia, sukan dan kemasyarakatan.
Pelbagai kemudahan disediakan di TMIYC di Muar, Johor Bahru dan Renggam, Kluang termasuk padang bola sepak sintetik berserta lampu limpah, gelanggang extreme, hab e-sukan, gelanggang futsal berbumbung serta asrama.
Manfaat yang begitu besar kepada penduduk khususnya dalam pembangunan sukan menyebabkan kerajaan negeri bersama Kementerian Belia dan Sukan mengusulkan permohonan serta cadangan agar pembinaan TMIYC turut diperluas ke daerah-daerah lain.
Selain itu, Johor turut merancang untuk memperkukuh penyertaan dalam pelbagai acara sukan dan menjadi tuan rumah acara sukan bola sepak sempena Sukan SEA 2027.
Beberapa stadium dicadangkan sebagai lokasi acara sukan ber-kenaan termasuklah Stadium Sultan Ibrahim (SSI), selain Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Johor juga semakin dikenali sebagai tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, dengan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan kompleks sukan lain menjadi pilihan utama bagi penganjuran pertandingan besar.
Dengan visi untuk menjadikan Johor sebagai hab sukan utama, usaha negeri itu tidak hanya memberi impak kepada ekonomi tetapi juga kepada penciptaan peluang pekerjaan dan penglibatan masyarakat dalam pelbagai bidang berkaitan sukan.
Kemenangan JDT pada Piala Malaysia 2025 menjadi bukti nyata bahawa Johor berada di landasan yang tepat untuk terus maju dan mengukir kejayaan demi kejayaan dalam dunia sukan.
* Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!