Bola sepak hari ini ibarat pakai baju tak ikut saiz - Sanusi

ALOR SETAR - Pembangunan bola sepak di negeri-negeri dilihat semakin suram berikutan kos pengurusan yang semakin tinggi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendekatan bola sepak kini ibarat ‘memakai baju bukan saiz sendiri’ apabila cuba meniru model luar jangkauan.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya membebankan kewangan dan menjejaskan prestasi pasukan.
“Saya dah sebut awal-awal dulu, kita tak mampu nak ikut standard yang ditetapkan oleh pihak tertentu. Saya harap semua faham. Kalau nak suruh ikut, boleh tapi main seorang.
“Akhir-akhir ini kita tengok semua negeri mengalami nasib sama sebab kita ikut ketetapan yang bukan atas kemampuan kita. Akhirnya yang jadi mangsa, pemain, pasukan, peminat.
“Saya harap ini jadi pengajaran kepada semua. Saya pernah cakap masa tu orang marah saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu turut meluahkan rasa kesal apabila kerajaan negeri sering dipersalahkan atas kegagalan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, walaupun tanggungjawab pengurusan dan kewangan sudah diambil alih pihak swasta.
“Perak pun ‘bungkus’. Saya tak salahkan kerajaan negeri Perak sebab bukan tanggungjawab mereka. Sama dengan situasi Kedah, bukan tanggungjawab kita.
“Ini semua sebab lontaran salah di media sosial sehingga orang dapat gambaran salah. Kalau di Kedah, tanggungjawab Sanusi, di negeri lain MB mereka selamat. Pelik betul,” katanya.
Namun pada masa sama, Muhammad Sanusi menghargai inisiatif pihak tertentu yang berusaha mengumpul dana bagi membantu pemain dan menghidupkan kembali semangat bola sepak di negeri ini.
“Saya tak tahu modus operandi mereka, tapi saya ucap terima kasih. Semua usaha untuk hidupkan bola sepak negeri ini patut dihargai,” katanya.
Mengulas cadangan penggabungan antara persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC), Muhammad Sanusi jelaskan, peranan KFA lebih bertumpu kepada pembangunan bakat muda, manakala pengurusan pasukan utama telah diswastakan.
"Selagi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) masih kekal dengan peraturan sedia ada, bola sepak kita akan terus begini. Mereka juga perlu ukur baju di badan sendiri, bukan ikut orang lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah membentangkan satu kertas cadangan hala tuju pembangunan bola sepak Kedah sehingga tahun 2035.
“Kita buat keputusan hari ini mengenai hala tuju sukan bola sepak negeri. Kita sediakan peruntukan khusus dan sasarkan pembangunan ini sehingga 2035.
“Ia bukan untuk satu pasukan sahaja seperti KDA FC, tetapi meliputi keseluruhan ekosistem bola sepak negeri termasuk pembangunan akar umbi dan bakat muda,” katanya.
Tegasnya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak berdasarkan kemampuan sebenar tanpa meniru model atau standard luar yang ditetapkan pihak tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!