Fenomena pembelian TikTok di Malaysia: Antara kelestarian dan gelagat pengguna

TIKTOK, sebuah aplikasi yang dahulunya hanya dikenali sebagai platform hiburan, kini menjadi medan jual beli yang semakin rancak di Malaysia.
Fenomena ini dilihat semakin berkembang terutama dalam kalangan generasi muda yang menjadikan TikTok Shop sebagai pilihan utama dalam urusan pembelian atas talian.
Menurut angka yang diterbitkan dalam sumber pengiklanan ByteDance pada 2024, TikTok mempunyai seramai 29 juta pengguna berusia 18 tahun ke atas di Malaysia pada awal tahun 2024. Jumlah ini mewakili 84 peratus daripada keseluruhan pengguna internet di negara ini yang berjumlah 34 juta orang.
Apa yang menjadikan TikTok Shop berbeza adalah keupayaannya menggabungkan hiburan dan pemasaran secara serentak. Melalui video pendek, sesi ‘live’ bersama pempengaruh dan fungsi ‘add to cart’ segera, pengguna bukan sahaja tertarik, malah terdorong untuk membuat pembelian secara serta-merta.
Daya tarikan pembelian secara impulsif
Gelagat pengguna di TikTok banyak dipacu oleh elemen hiburan dan keterlibatan emosi. Promosi masa terhad, diskaun menarik serta testimoni daripada pempengaruh yang dipercayai menjadikan pengguna mudah terpengaruh untuk membuat pembelian - walaupun pada asalnya mereka hanya sekadar ingin berhibur.
"Kadang-kadang masuk TikTok nak tengok video lawak, tapi akhirnya terbeli serum muka," ujar seorang pengguna, sambil ketawa - menggambarkan bagaimana kandungan di TikTok mampu mempengaruhi keputusan membeli tanpa dirancang.
Menurut satu laporan DataReportal, kadar keterlibatan pengguna TikTok di Malaysia pada tahun 2024 adalah antara yang tertinggi di dunia, dengan purata penggunaan harian mencecah lebih 120 minit sehari.
Ini membuka ruang besar untuk strategi pemasaran berasaskan hiburan (entertainment-based marketing), di mana iklan dan kandungan promosi disampaikan dalam bentuk video kreatif dan menghiburkan.
Faktor-faktor seperti keseronokan menggunakan aplikasi, kemudahan sistem pembayaran seperti integrasi dengan e-dompet tempatan (contohnya Touch ‘n Go eWallet), serta reka bentuk mesra pengguna (user-friendly interface) telah dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada peningkatan pembelian melalui TikTok Shop.
Kajian juga menunjukkan bahawa keselesaan platform dan kepercayaan terhadap pempengaruh menjadi elemen penting dalam mendorong niat membeli pengguna.
Ada juga pengguna mendapati bahawa pengalaman membeli yang memuaskan serta elemen kepercayaan mendorong kepada tingkah laku pembelian berulang dalam kalangan pengguna TikTok Shop.
Tambahan pula, algoritma TikTok yang pintar mampu menyasarkan kandungan kepada minat khusus pengguna, menjadikan pengalaman membeli lebih bersifat peribadi.
Fenomena ini menjelaskan bagaimana pengguna yang asalnya hanya mencari hiburan, akhirnya terdorong untuk membeli barangan kosmetik, fesyen, atau gajet yang sering ditampilkan oleh pempengaruh kegemaran mereka.
Secara keseluruhannya, TikTok bukan sekadar medan hiburan, malah telah menjadi satu ruang digital baharu yang menggabungkan emosi, sosial dan komersial dalam satu ekosistem yang mempengaruhi gaya hidup pengguna masa kini.
Timbul isu kelestarian dan kesedaran
Namun begitu, di sebalik kemeriahan ini, timbul juga persoalan tentang kelestarian. Pembelian impulsif yang berlebihan boleh membawa kepada pembaziran dan masalah barangan tidak digunakan.
Tambahan pula, ada kebimbangan tentang keselamatan data peribadi serta kredibiliti produk yang diiklankan secara berlebihan oleh sesetengah pempengaruh.
Kelestarian bukan sahaja melibatkan isu alam sekitar, malah turut merangkumi aspek psikologi dan sosial dalam kehidupan harian pengguna.
Dalam konteks pembelian dalam talian, kelestarian turut merujuk kepada kebijaksanaan pengguna menilai keperluan sebenar mereka sebelum membuat sesuatu pembelian.
Menurut pakar psikologi pengguna, tabiat membeli tanpa keperluan sebenar – yang sering berlaku akibat dorongan emosi atau pengaruh media sosial – boleh membawa kepada pembaziran sumber kewangan serta tekanan psikologi jangka panjang.
Fenomena ini semakin ketara dalam platform seperti TikTok, yang menyajikan pelbagai promosi pantas dan tawaran menarik secara berterusan.
"Kelestarian bukan sahaja dari sudut alam sekitar, tetapi juga melibatkan sikap pengguna terhadap keperluan sebenar mereka. Jika tidak dikawal, pembelian berlebihan akan jadi satu tabiat tidak sihat," ujar seorang pensyarah pemasaran dari universiti tempatan.
Pakar turut memberi amaran bahawa pembelian impulsif secara berulang boleh mewujudkan gelagat kompulsif, di mana pengguna cenderung membeli semata-mata untuk kepuasan jangka pendek, tanpa mempertimbangkan keperluan sebenar atau kemampuan kewangan mereka.
Sehubungan itu, pendidikan pengguna dan kesedaran digital perlu dipertingkatkan agar trend pembelian di platform seperti TikTok dapat dikawal secara beretika dan lestari.
Sikap "beli bila perlu, bukan kerana tergoda" wajar dipupuk dalam kalangan pengguna, terutamanya generasi muda yang menjadi kumpulan paling aktif di platform tersebut.
Pendidikan pengguna dan polisi diperlukan
Bagi menyeimbangkan antara teknologi dan tanggungjawab pengguna, pendidikan digital amat penting. Pihak kerajaan bersama platform seperti TikTok perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran tentang hak pengguna dan etika pembelian dalam talian.
Cadangan turut dikemukakan agar promosi yang bersifat mengelirukan ditapis lebih ketat, dan pengguna dididik untuk mengenal pasti maklumat palsu serta ulasan yang diragui.
Kesimpulan
Fenomena pembelian TikTok di Malaysia nyata membawa angin baharu dalam dunia e-dagang. Namun, dalam keterujaan ini, pengguna perlu bertindak bijak dan sedar akan tanggungjawab mereka.
Jika digunakan secara beretika dan seimbang, TikTok bukan sahaja dapat menjadi platform jual beli yang berkesan, malah menyumbang kepada ekonomi digital negara secara mampan.
"Belanja ikut keperluan, bukan perasaan. TikTok boleh jadi ruang membeli yang menyeronokkan, asalkan kita tahu hadnya."
*Nik Mohd Baidzani Haddad Ibrahim dari Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!