Penyerahan gratuiti simbol penghargaan buat Saloma

KUALA LUMPUR – Waris Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, menerima penghargaan istimewa pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 anjuran Saloma Kuala Lumpur yang berlangsung di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur pada Isnin.
Gratuiti tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada cucu-cucu Allahyarhamah, Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, diiringi Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Datuk Che Umar.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut Datin Riza, penganjuran majlis bukan sahaja bagi meraikan Aidilfitri, malah untuk mengenang jasa dan sumbangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma dalam memperkayakan seni budaya negara.
"Penyerahan gratuiti ini adalah manifestasi keikhlasan dan penghargaan atas bakti yang ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada generasi masa kini.
"Ia juga merupakan kesinambungan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang turut menyantuni tetamu istimewa termasuk mereka yang memerlukan," katanya.

Mengulas lanjut, Datin Riza berkata, sebelum ini Saloma Kuala Lumpur telah melaksanakan pelbagai program kebajikan seperti Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan, yang mengagihkan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan kepada golongan asnaf.
Selain itu, majlis Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat turut dianjurkan bagi membantu artis veteran dan anak-anak tahfiz, selain program Kongsi Rezeki yang menjadi nadi utama dalam setiap penganjuran.
"Saloma Kuala Lumpur juga sentiasa membuka ruang kerjasama dengan penggiat seni termasuk menjadi lokasi sidang media bagi promosi Konsert 30th Anniversary ELLA USA dan Rossa ‘Here I Am Concert’," ujarnya.
Beliau berkata penganjuran majlis seumpama ini akan diteruskan dalam usaha memperkukuhkan peranan Saloma Kuala Lumpur sebagai platform memartabatkan seni budaya tanah air sambil menyemai nilai kemanusiaan dan penghargaan terhadap legasi seni negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

