Kelantan raih pelaburan RM1.21 bilion, kukuhkan status hab perindustrian ECER

KOTA BHARU – Kelantan kini muncul sebagai hab perindustrian apabila Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.21 bilion, yang sebahagian besarnya melibatkan sektor pembuatan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan kompetitif di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menurut beliau, antara penyumbang utama ialah projek loji janakuasa hidro mini berkapasiti 84 megawatt (MW) di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah serta pembangunan Pusat 3S Automotif (jualan, servis dan alat ganti) di Taman Halal Pasir Mas yang dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini.
“Kedua-dua projek berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan berkualiti, selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi tahun 2025.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Menurut Mohd Nassuruddin, pelaburan ini turut membuktikan bahawa Kelantan bersedia menerima pembangunan berskala besar, termasuk pelaburan berjumlah RM290 juta yang dijangka mewujudkan lebih 650 peluang pekerjaan.
Dalam masa sama, katanya, kemajuan ketara turut dicatat dalam pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, dengan kerja-kerja struktur utama 'cable-stayed' merentasi Sungai Kelantan telah dimulakan pada April 2025 dan dijangka siap mengikut jadual.
Jambatan tersebut akan menjadi laluan strategik yang menghubungkan pusat bandar Kota Bharu dengan kawasan pembangunan baharu di Palekbang, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik terutama di Jambatan Sultan Yahya Petra.
“Jambatan ini dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan daerah Tumpat dan Kota Bharu,” ujarnya.
Sementara itu, Baidzawi berkata, ECERDC turut memperkukuh taraf sosioekonomi luar bandar melalui Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Machang, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.
Katanya, projek fertigasi cili menggunakan teknologi pintar seluas kira-kira 23.7 hektar itu menyasarkan pendapatan bulanan mampan sehingga RM2,000 kepada 100 peserta.
“Kita juga melaksanakan Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan dengan menyiapkan dua Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import, serta memperkukuh tahap sara diri industri tenusu negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!