JAIPk nasihat AJK masjid guna budi bicara kepada musafir

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menasihatkan ahli jawatankuasa (AJK) di setiap masjid menggunakan budi bicara sebaik mungkin dalam mengendalikan kehadiran orang awam, termasuk musafir.
Pengarah, Datuk Harith Fadhilah Abdul Halim berkata, saranan itu bagi menjaga ketenteraman rumah ibadah agar tidak timbul salah faham dalam kalangan orang ramai yang menggunakan kemudahan di masjid.
"Bagi pihak jawatankuasa kariah, gunakanlah budi bicara agar kesucian dan fungsi masjid sebagai pusat dakwah dan tarbiah terpelihara.
"Orang awam yang ingin bermusafir di masjid pula dinasihatkan menggunakan prasarana disediakan sebaiknya dan mematuhi peraturan ditetapkan jawatankuasa kariah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tular di media sosial yang mendakwa seorang AJK masjid di Sitiawan bertindak biadab terhadap individu yang dipercayai ingin berehat di masjid sebagai musafir.
Isu tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata menggesa agar pihak masjid lebih mesra terhadap golongan musafir selaras dengan nilai ihsan dan peranan masjid dalam masyarakat Islam.
Mengulas lanjut, Harith Fadhilah berkata, JAIPk masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu tersebut, namun telah menjalankan siasatan awal berdasarkan hantaran di laman sosial berkenaan.
Katanya, JAIPk telah mengeluarkan Garis Panduan Masjid sebagai Pusat Kegiatan Komuniti Negeri Perak Darul Ridzuan bertarikh 24 April 2019, yang antara lainnya menetapkan peranan masjid sebagai tempat mesra musafir.
Ujar beliau, antara cadangan utama dalam garis panduan tersebut ialah penyediaan keperluan asas kepada musafir serta ruang khas untuk mereka beribadat dan berehat.
"Masjid disarankan agar mengikut garis panduan ini yang bertujuan mentransformasi fungsi masjid menjadi pusat kegiatan komuniti yang bersifat universal dan kontemporari,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa garis panduan tersebut mengandungi lima teras induk termasuk teras ‘Pusat Ibadah dan Dakwah’ yang secara langsung menyentuh keperluan memudahkan urusan musafir.
"Sebarang aduan dan permasalahan bolehlah mengemukakan kepada JAIPk atau Pejabat Agama Islam di daerah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!