Pemain industri disaran wujud tabung naik taraf produk pelancongan

IPOH - Semua pemain industri disarankan untuk menyediakan tabung dana pelaburan semula bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf produk pelancongan Perak.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kebanyakan pemain industri negeri ini didapati tidak menyediakan simpanan sehingga boleh menjejaskan pengoperasian aktiviti pelancongan.

"Syarikat berdepan masalah apabila produk pelancongan perlu diperbaharui seperti menaik taraf pengangkutan, bangunan perlu dicat semula, kemudahan infrastruktur dan produk baharu yang mana semuanya memerlukan modal.
"Tentulah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan cuba bantu sedaya upaya tetapi hakikatnya setiap syarikat berkenaan perlu ada tabung sendiri dan itu sangat penting," katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Perak anjuran Tourism Malaysia di sini pada Selasa.
Menurut beliau, trend kehadiran pelancong kini lebih memfokuskan kepada kluster pelancongan baharu.
"Di Ipoh ada satu kawasan agak popular sejak 10 tahun lalu tetapi komuniti setempat tidak akan berkunjung pada hujung minggu sama ada untuk makan dan lain-lain kerana sesak, jadi kehadiran pelawat ke kawasan itu mula menurun sedangkan data kehadiran ke negeri ini meningkat.
"Ini menunjuk gerakan pelancong lebih terarah kepada kluster baru seperti Tasik Cermin dan lain-lain kerana pelancong suka sesuatu yang baru, tiap-tiap tahun beza.
"Apabila tempat pelancongan uzur, pelawat akan hilang. Disebabkan itu, kita harus melabur semula bagi mengekalkan produk pelancongan agar dapat bersaing dengan negeri lain," katanya.
Sze Yee berkata, kewujudan tabung dana pelaburan semula itu membolehkan pemain industri dapat kekal bersaing dan menjadikan negeri sebagai pemain bertaraf profesional dalam sektor pelancongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!