Peruntukan RM30 juta naik taraf 47 klinik kesihatan uzur, daif di Johor

JOHOR BAHRU - Sebanyak 47 klinik kesihatan yang uzur dan daif di sekitar Johor akan dinaik taraf pada tahun ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut Exco Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja naik taraf itu melibatkan penambahbaikan infrastruktur selain menggantikan sistem perubatan yang lama.
“Proses mengeluarkan tender akan bermula pada bulan Mac ini dan mengikut jadual yang ditetapkan, ia dijangka dapat diselesaikan sebelum Oktober.
“Lagi pun, kita telah mengenal pasti sebanyak 47 klinik kesihatan yang uzur dan daif di setiap daerah di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan untuk dinaik taraf demi keselesaan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.
“Sebelum ini, sebanyak 98 klinik di seluruh negeri ini telah dinaik taraf sejak 2023 sehingga Disember lalu,” katanya kepada ketika ditemui di Lotus Bukit Indah, di sini pada Sabtu.
Tian Soon berkata demikian sempena lawatan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke program Walkabout Pelancaran Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan UMP (Ubat Melalui Pos) di pasar raya tersebut.
Untuk rekod, tiga Klinik Kesihatan di Gelang Patah, Majidee dan Tebrau, di sini hampir siap dinaik taraf sepenuhnya dengan peruntukan berjumlah RM4 juta.
“Infrastruktur serta kemudahan di fasiliti kesihatan terbabit seperti pendingin hawa, perabot serta peralatan bukan perubatan telah ditukar ganti.
“Bagaimanapun, bagi kelengkapan perubatan pula seperti alat ultrasound, ia akan dipasang dalam masa terdekat dan Menteri Besar juga berhasrat untuk menyumbang ambulans di ketiga-tiga klinik kesihatan tersebut, juga dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, Tian Soon mengesahkan tidak ada mana-mana fasiliti kesihatan yang terjejas akibat insiden banjir yang melanda di lima daerah Johor baru-baru ini.
“Semua fasiliti kesihatan berada dalam keadaan baik dan tidak terkesan akibat banjir, dan boleh beroperasi seperti biasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!