RM5.23 juta naik taraf Muzium Sultan Alam Shah, mula beroperasi 8 Februari ini

SHAH ALAM - Muzium Sultan Alam Shah yang ditutup sejak 2019 bakal beroperasi semula pada 8 Februari depan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, projek naik taraf muzium negeri bernilai RM5.23 juta itu berjaya disiapkan pada bulan ini selepas tertangguh hampir lima tahun akibat beberapa isu di luar kawalan pihak pentadbiran.

Menurutnya, penyusunan semula koleksi dan artifak antara faktor kelewatan projek ini kerana mengambil masa yang lebih lama serta memerlukan ketelitian tinggi.
"Setiap koleksi perlu dipamerkan dengan cara bersesuaian mengikut suhu, pencahayaan, kaedah peragaan serta teknologi digunakan.
"Naik taraf ini melibatkan tiga galeri utama iaitu Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan dan Galeri Alam Semula Jadi," katanya pada sidang akhbar pembukaan Muzium Sultan Alam Shah pada Isnin.

Beliau berkata, muzium tersebut turut diberi nafas baharu, dilengkapi dengan kemudahan mesra pengunjung seperti mengaplikasikan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), interaksi seni, peta grafik dan sistem respon pantas (QR) bagi membolehkan pengunjung dapat mengakses maklumat dengan mudah.
"Selain itu, pelbagai tarikan menarik antaranya pameran alam kubur yang telah dikembalikan semula, namun kini dalam bentuk tiga dimensi, pameran warung 1960- an, pameran perkahwinan dan diorama gua yang telah ‘dihidupkan’ semula.
"Muzium ini turut mempamerkan lebih 1,000 bahan pameran termasuk artifak, diorama, model dan replika merangkumi aspek sejarah, kebudayaan, warisan dan 800 spesimen berkaitan alam semula jadi khususnya di Selangor dan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Borhan berkata, Muzium Selangor yang telah dibangunkan lebih 36 tahun lalu itu merupakan satu ikon pelancongan dan warisan utama di Shah Alam.
"Muzium Sultan Alam Shah ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikannya sebagai antara tarikan dan produk pelancongan keluarga di Selangor.
"Pembukaan muzium ini antara usaha membantu Tourism Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dengan sasaran kehadiran lapan juta pengunjung di negeri ini," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh hadir secara percuma selama tiga bulan dan bayaran tiket akan dikenakan pada Mei 2025 bagi memastikan kualiti pameran dan penyelenggaraan muzium dapat dilaksanakan secara efisien.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!