RM668 juta naik taraf akses internet di 23 IPTA

KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menaik taraf akses internet di 23 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi peruntukan berjumlah RM668 juta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerja-kerja naik taraf akan melibatkan beberapa fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
“Antara aduan disampaikan oleh pihak universiti kepada kementerian dan MCMC sebelum ini ialah kemudahan ada internet, tetapi isyarat wi-fi lemah.

“Kami akan usahakan melalui penambahbaikan akses dan liputan mudah alih termasuk dengan penambahan menara perkhidmatan dalam serta di luar bangunan kampus,” katanya pada sidang akhbar selepas Melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.
Beliau mengulas, naik taraf fasa pertama bermula pada awal tahun ini melibatkan Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan juga Universiti Malaysia Perlis serta dijangka siap pada bulan depan.
Katanya, kerajaan juga memantau dan meneliti naik taraf itu di IPTA supaya penuntut dapat menggunakan wi-fi dengan lancar.
“Misalnya di UMK ada tiga kampus yang akan dipasang hampir seribu akses poin wi-fi pada fasa kedua nanti.
“Langkah ini akan dapat membantu meningkatkan capaian internet penuntut,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Tinggi dalam usaha meningkatkan kesedaran penuntut terhadap keselamatan penggunaan internet.
“Peruntukan RM10,000 diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar di universiti.
“Ini bagi tujuan program meningkatkan kesedaran supaya para pelajar dapat manfaatkan internet dengan selamat dan tidak menjadi mangsa scam, buli siber atau jenayah-jenayah di media sosial,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!