Vesel nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut negara
PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan asing Vietnam selepas menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara pada Ahad.
Penahanan dibuat sekitar jam 5.09 petang oleh sebuah kapal penguat kuasa yang menjalankan rondaan Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris kira-kira 94 batu nautika dari Muara Tok Bali.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, vesel terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.49 petang sebelum dipintas dan ditahan kira-kira 20 minit kemudian.
“Ketika didekati, kru vesel enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara sebelum tindakan force boarding dilakukan oleh anggota kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiga kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berusia antara 37 hingga 41 tahun berada di atas vesel berkenaan.
“Rampasan melibatkan 5,000 kilogram hasil laut, peralatan navigasi, komunikasi serta 600 liter diesel dengan anggaran nilai keseluruhan hampir RM1 juta,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia serta Seksyen 16(3) akta sama kerana tidak memaklumkan laluan, lokasi dan destinasi vesel.
“Ketiga-tiga kru turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Tambah beliau, proses membawa balik vesel ke Jeti Maritim Kelantan mengambil masa 23 jam dan tiba pada jam 3.55 petang Isnin untuk tindakan lanjut siasatan.
Ujarnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang jenayah atau insiden di laut boleh menyalurkannya melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kelantan di talian 09-7780070.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

