Bekas pekerja gudang ditahan curi cip bernilai RM120,000

GEORGE TOWN - Polis menahan bekas pekerja sebuah gudang kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian komponen cip jenis PMU0123 bernilai RM120,000 milik sebuah syarikat elektronik multinasional yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Teluk Kumbar, dekat sini, pada Rabu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pihak syarikat telah membuat semakan audit dalaman dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi sebelum mengenal pasti suspek, yang merupakan bekas pekerja, sebagai individu mencurigakan.
“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai telah mengambil sebanyak lapan unit cip dari stor syarikat dan menjualnya kepada individu tidak dikenali di kawasan hentian bas di hadapan sebuah kilang berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama malam Rabu.
Beliau berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max milik suspek.
Sazalee berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pembeli cip tersebut dan lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!