Terjemah Prinsip Penyata Jakarta kepada tindakan

PUTRAJAYA – Persidangan Anti-Rasuah Asia Tenggara - Mengimbas Kembali Penyata Jakarta perlu menjadi platform seruan untuk bertindak dan memperkukuhkan pendirian kolektif dalam usaha membanteras rasuah.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjurnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, persidangan tersebut menghimpunkan barisan pakar pemikir terkemuka dan pejuang antirasuah dari seluruh Malaysia bagi memperbaharui komitmen berkenaan.
“Kita mengambil inspirasi daripada Penyata Jakarta yang menekankan prinsip kebebasan, akauntabiliti, ketelusan, kerjasama serta keperluan sumber yang mencukupi kepada agensi-agensi antirasuah.
“Persidangan ini bukan sekadar satu perhimpunan, tetapi satu seruan untuk bertindak.
"Kita akan membincangkan cabaran, berkongsi kejayaan, mengambil iktibar daripada kegagalan dan membentuk pakatan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Persidangan Anti-Rasuah Asia Tenggara - Mengimbas Kembali Penyata Jakarta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Presiden Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Ujar beliau, semangat dan prinsip Penyata Jakarta perlu diterjemahkan kepada strategi praktikal yang mampu menangani cabaran tadbir urus di negara masing-masing.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Persidangan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pakar negara yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
