[VIDEO] Siasatan sekitar 20 peratus, Ismail Sabri akan dipanggil dua minggu lagi

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sesi mengambil keterangan Ismail Sabri akan bersambung dua minggu lagi.

"Ada beberapa dokumen kita minta beliau sediakan dan kes ini masih lagi berjalan seperti mana saya sebutkan kali ini adalah berhubung dengan pengisytiharan hartanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Ujar beliau, adalah menjadi tanggungjawab pihak yang diberi notis untuk menjelaskan pemilikan harta kepada SPRM.

"Pihak kami akan memastikan sama ada harta yang diisytiharkan itu benar atau tidak menjadi kesalahan.

"Sekiranya pengesahan itu ada yang kita (dapati) pengisytiharan tidak benar atau tidak mencukupi," jelas Azam.

Artikel Berkaitan:

Siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.
Siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.

Ismail Sabri berdepan dengan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lalu, Azam mendedahkan Ismail Sabri merupakan suspek bagi kes berkenaan.

Sebanyak RM170 juta wang tunai pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas ditemui SPRM dalam serbuan di sebuah kondominium yang dipercayai dijadikan 'safe house'.

Selain itu, 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta disita bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!